Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPDN Kelantan Rampas 1.36 Tan Minyak Masak Bersubsidi Disyaki Untuk Diseleweng

KPDN Kelantan Rampas 1.36 Tan Minyak
Kredit: KPDN Kelantan

KPDN Kelantan Rampas 1.36 Tan Minyak Masak Bersubsidi Disyaki Untuk Diseleweng

KOTA BHARU, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 1.36 tan metrik minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseleweng dalam satu operasi bersepadu di Pasir Mas, semalam.

Pengarah KPDN Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata rampasan itu dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan Unit Risikan dan Tindakan Khas KPDN Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas serta KPDN Cawangan Pasir Mas.

Beliau berkata hasil risikan membawa pasukan operasi mengekori sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berdaftar tempatan sejauh hampir 10 kilometer bermula dari sebuah premis pemborong barang kawalan di Pasir Mas.

“Kenderaan itu berjaya ditahan kira-kira 8.30 malam di Kampung Kubang Panjang, Lemal sebelum pemeriksaan lanjut menemukan 1,360 kilogram minyak masak bersubsidi yang disyaki untuk tujuan penyelewengan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanif berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM18,400 termasuk kenderaan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan, namun suspek yang memandu kenderaan terbabit berjaya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran ketika serbuan dijalankan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.