Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPDNHEP Kelantan Rampas 9,350KG Minyak Masak Cuba Diseludup Ke Negara Jiran

Kredit: Google

KOTA BHARU, 6 Jun (Bernama) — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, merampas 9,350 kilogram minyak masak daripada diseludup ke negara jiran, selepas melakukan serbuan ke atas sebuah stor simpanan barangan kawalan itu di Kampung Rogayah, Pasir Mas, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri Azanizam Affendi Juri berkata, barangan rampasan berkenaan dianggarkan sejumlah RM23,375 dan pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 50an, dalam serbuan pada 9 pagi itu.

“Serbuan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan bersama KPDNHEP Kelantan dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tumpat.

“Kami telah melakukan risikan selama seminggu sebelum melakukan serbuan dengan kekuatan anggota seramai 13 pegawai, bagi menggeledah stor simpanan itu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan disyaki cuba untuk membawa barangan rampasan itu dari luar Kelantan ke sempadan negara, bagi tujuan penyeludupan ke negara jiran melalui pengkalan haram.

“Modus operandi bagi penyeludupan kali ini ialah dengan menjadikan stor di sempadan negara di lokasi strategik laluan sungai sebagai tempat simpanan sementara, dan seterusnya dibawa seludup ke negara jiran,” tambahnya.

Azanizam Affendi berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, serta akan menjejaki punca bekalan diperolehi suspek.

Mengenai pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan pergerakan penuh beliau berkata, KPDNHEP Kelantan telah menjalankan pemeriksaan terhadap 683 premis peniagaan bermula 1 Jun lepas hingga semalam.

“Kami telah menghasilkan 11 tindakan kes di bawah Akta Kawalan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), antaranya pemilik premis gagal membuat penandaan bagi laluan keluar masuk premis, dengan nilai kompaun sebanyak RM10,000 setiap kes.

“Sejak Januari lepas hingga semalam, pemeriksaan yang dijalankan iaitu premis yang patuh SOP adalah sejumlah 11,913, manakala nasihat (diberikan kepada pemilik premis) sejumlah 40, amaran dikeluarkan 47 dan tindakan kompaun adalah 15 kes, yang membabitkan pasar raya, restoran, kilang, pasar tani, pasar awam dan lain-lain premis,” katanya.

Sumber: BERNAMA