Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPKT Janji Setiap Sen Belanjawan 2027 Diterjemah Kepada Manfaat Rakyat

KPKT
Kredit: Facebook Nga Kor Ming

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan setiap pandangan yang diterima daripada rakyat dan pemegang taruh akan diberi perhatian dalam merangka Belanjawan 2027 yang lebih responsif serta berteraskan aspirasi Malaysia MADANI.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perkara itu menjadi antara fokus utama menerusi Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 KPKT yang dipengerusikannya bersama kira-kira 350 pemegang taruh daripada pelbagai sektor di Putrajaya, hari ini.

Menurut Kor Ming, sesi berkenaan menjadi platform penting bagi membolehkan KPKT mendengar secara langsung pelbagai cadangan dan pandangan daripada pihak berkepentingan.

“Berpegang kepada prinsip ‘suara rakyat, suara keramat’, setiap pandangan yang diterima akan menjadi antara teras utama dalam merangka Belanjawan 2027 yang benar-benar responsif dan berteraskan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Beliau berkata, fokus KPKT sentiasa tertumpu kepada usaha meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat di seluruh negara.

Jelasnya, komitmen itu diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai projek di lapangan apabila KPKT bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya menyempurnakan sebanyak 15,832 projek kemudahan awam, termasuk pembinaan 217 Taman MADANI.

“Bergerak ke hadapan, kita akan terus memperkasakan penyediaan rumah mampu milik, meningkatkan kecekapan perkhidmatan PBT serta memperkukuh agenda pembangunan mampan dan ekonomi kitaran,” ujarnya.

Kor Ming berkata, perancangan Belanjawan 2027 juga akan diselaraskan dengan tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan, menaikkan lantai kesejahteraan dan memacu pembaharuan tatakelola.

Beliau memberi jaminan bahawa setiap pandangan yang disuarakan sepanjang sesi libat urus itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

“KPKT bertekad memastikan setiap sen peruntukan Belanjawan 2027 diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan memberi impak positif kepada kehidupan harian rakyat,” katanya.

Menurut beliau, usaha itu penting bagi memastikan peruntukan yang dirangka benar-benar memberi manfaat kepada rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober 2026.

“Setiap cadangan dan pandangan yang diterima akan diteliti sebaiknya supaya Belanjawan 2027 bukan sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya membawa perubahan yang dapat dirasai rakyat,” jelasnya.

Intipati
  • KPKT akan meneliti pandangan rakyat dan pemegang taruh untuk merangka Belanjawan 2027.
  • Nga Kor Ming mempengerusikan sesi libat urus bersama kira-kira 350 pemegang taruh.
  • KPKT memberi tumpuan kepada rumah mampu milik, perkhidmatan PBT dan pembangunan mampan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan