Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPM Arah Sesi Khas Bersama Pemegang Taruh Bincang Polisi Perlindungan Murid

POLISI
Kredit: Bernama

Ketua Pengarah Pendidikan dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pendidikan (KPM) diarahkan mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh bagi membincangkan pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sesi berkenaan bertujuan meneliti serta menjawab kebimbangan yang dibangkitkan guru berhubung pelaksanaan polisi tersebut.

Menurutnya, beliau memahami kegusaran yang disuarakan golongan pendidik dan meminta semua guru bertenang serta memberi ruang kepada KPM untuk menerangkan perkara berkenaan secara menyeluruh.

“Polisi ini merujuk kepada perlindungan kepada semua yang terlibat dan berurusan dengan murid.

“Keutamaan KPM adalah untuk melindungi semua murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata, sekiranya berlaku sebarang insiden di sekolah, polisi berkenaan menyediakan panduan terperinci berkaitan tanggungjawab setiap pihak serta kaedah untuk menanganinya.

Jelasnya, KPM komited memastikan pelaksanaan polisi itu dibuat secara teliti dan bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.

Dalam pada itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini menyifatkan tindakan mewajibkan guru menandatangani aku janji pematuhan Polisi Perlindungan Murid menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) sebagai tidak wajar.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, perkara itu seolah-olah menidakkan usaha guru selama ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid, khususnya dalam aspek perlindungan.

Menurutnya, NUTP meminta semua ahlinya tidak menandatangani aku janji berkenaan buat sementara waktu sehingga persetujuan bersama dicapai antara kesatuan itu dengan KPM.

“NUTP meminta agar semua ahli tidak menandatangani aku janji tersebut dan meminta agar semua Pengetua dan Guru Besar tidak membuat paksaan kepada guru-guru untuk menandatangani aku janji tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Intipati
  • KPM mengarahkan sesi khas bersama pemegang taruh membincangkan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.
  • Fadhlina Sidek meminta guru bertenang sementara KPM menerangkan pelaksanaan polisi secara menyeluruh.
  • NUTP meminta ahlinya tidak menandatangani aku janji sehingga persetujuan dicapai dengan KPM.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan