Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KPM Peruntuk RM8.4 Juta Untuk Lencana Jalur Gemilang Kepada 5.14 Juta Pelajar
KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM8.4 juta untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar di sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap pelajar diberikan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma, sebagai salah satu inisiatif KPM dalam menyemai semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah.
“Peruntukan ini telah disalurkan kepada semua jabatan pendidikan negeri (JPN) dan institusi pendidikan yang berkenaan pada bulan Februari 2025. Peruntukan ini diselaraskan mengikut enrolmen murid dan pelajar.
“Proses perolehan dilaksanakan oleh JPN dan pejabat pendidikan daerah (PPD) serta institusi berkenaan melalui sistem ePerolehan sama ada secara tender atau sebut harga tertakluk kepada peruntukan yang diterima.
“JPN juga telah diberi kebenaran untuk melaksanakan perolehan mengikut zon bagi menyegerakan proses pembekalan dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pembekal yang layak,
“Sebanyak 91 pembekal terlibat dalam membekalkan lencana Jalur Gemilang seluruh negara,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS–Kuala Krai) mengenai jumlah perbelanjaan kerajaan untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada semua pelajar di bawah institusi Kementerian Pendidikan.
Tambah Fadhlina, KPM telah menyediakan garis panduan ketika memakai lencana Jalur Gemilang kepada semua institusi pendidikan bawah kementerian itu.
“Walau bagaimanapun, ibu bapa diberi keluwesan dalam menyediakan lencana Jalur Gemilang tambahan bersaiz sama dengan material yang bersesuaian.
“KPM akan terus memantau pelaksanaan pemakaian lencana yang fleksibel di semua peringkat institusi pendidikan.
“Melalui pemakaian lencana ini, semangat patriotisme dapat dizahirkan dan inisiatif ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan serta rasa cinta terhadap negara dalam jiwa generasi MADANI,” katanya lagi.
Sumber: Portal Rasmi Parlimen Malaysia