KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Tiga bekas Undang Negeri Sembilan dan seorang yang masih memegang jawatan, iaitu Undang Luak Johol hari ini menarik balik permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah supaya Menteri Besar Negeri Sembilan menandatangani satu proklamasi berkaitan pelucutan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pemohon terdiri daripada Datuk Mubarak Thahak, Datuk Maarof Mat Rashad, Datuk Muhammed Abdullah dan Datuk Abd Rahim Yasin.
Peguam mereka Mohd Khairul Azam Aziz memberitahu Hakim Norliza Othman ketika prosiding pengurusan kes bahawa keempat-empat pemohon itu berhasrat menarik balik permohonan mereka tanpa sebarang perintah mengenai kos berikutan perkara itu telah menjadi akademik selepas Menteri Besar Negeri Sembilan menandatangani proklamasi bertarikh 3 Ogos lepas.
Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili Jabatan Peguam Negara tidak membantah penarikan balik permohonan itu.
Peguam Steven Thiru, yang mewakili Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dan setiausahanya Raja Norazli Raja Nordin juga tidak membantah, namun memohon kos RM10,000 daripada setiap pemohon.
Permohonan kos itu disokong oleh peguam Robert Low yang mewakili Undang Luak Rembau ketika ini Hassan Ab Hamid dan peguam Jasmin Irisa Ahmad Mirza yang mewakili Undang Luak Sungei Ujong Muhammad Faris Johari yang menggantikan Mubarak.
Pihak yang memohon untuk mencelah – DKU, setiausahanya, Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau – memohon kos atas alasan penarikan balik permohonan semakan itu menyebabkan prosiding berkenaan tidak lagi diperlukan.
“Selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak, mahkamah membenarkan penarikan balik tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Mahkamah memerintahkan empat pemohon untuk membayar kos RM10,000 kepada setiap pencelah yang dicadangkan,” kata hakim berkenaan.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas prosiding, Steven berkata permohonan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ialah satu penyalahgunaan proses mahkamah kerana pemohon gagal mendedahkan kewujudan prosiding yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban.
“Pemohon tidak mendedahkan dalam permohonan semakan kehakiman mereka tentang prosiding yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban, yang dimulakan pemohon bersama dengan dua pihak lain.
“Perkara itu termasuklah perintah injuksi bertarikh 5 Jun lepas dan kebenaran untuk memulakan prosiding komital yang diberikan pada 8 Julai, yang kedua-duanya diperoleh DKU dan setiausahanya daripada Mahkamah Tinggi Seremban,” katanya.
Steven turut mendakwa pemfailan permohonan di Kuala Lumpur itu ialah cubaan memilih forum yang menguntungkan dan membabitkan penyembunyian fakta material daripada mahkamah.
Sementara itu, Mohd Khairul berkata permohonan itu ditarik balik kerana perkara tersebut telah menjadi akademik susulan pelaksanaan Proklamasi bertarikh 3 Ogos oleh Menteri Besar.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 17 Julai dengan menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sebagai responden.
Permohonan itu memohon perintah mandamus yang menghendaki Menteri Besar menandatangani proklamasi untuk melucutkan jawatan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Pemohon juga memohon perintah supaya Menteri Besar menandatangani dokumen itu dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah dikeluarkan.

