Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kuala Lumpur Fashion Week 2026 Persembahkan Destinasi : Tanah Air

KUALA

Kuala Lumpur Fashion Week 2026 Persembahkan Destinasi : Tanah Air

Mulai 3 hingga 9 Ogos 2026, Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) kembali ke lokasi ikoniknya di Esplanade, Taman KLCC untuk mempersembahkan edisi ke-14 dunia fesyen negara. Meraikan musim penuh bermakna ini, KLFW 2026 mempersembahkan Destinasi: Tanah Air (Destination: Home Ground), satu kebangkitan budaya yang meraikan identiti Malaysia menerusi sentuhan kreatif lebih 50 pereka dan jenama tempatan.

Acara fesyen tahunan paling dinanti-nantikan kembali menghiasi ibu kota apabila Suria KLCC dan KLCC (Holdings) Sdn Bhd mentransformasikan nadi Kuala Lumpur menjadi sebuah pentas ikonik yang meraikan keunggulan gaya, kreativiti dan budaya. Kalendar KLFW 2026 bakal mengangkat kecemerlangan dunia fesyen negara dengan menampilkan kepelbagaian gaya, menyaksikan kemunculan bakat-bakat baharu, kolaborasi yang mengilhamkan dan inovasi kreatif. Penganjurannya turut diperkukuhkan dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Diilhamkan daripada motif arkib batik Yayasan Sabah, ruang pertunjukan KLFW 2026 diberi nafas baharu menerusi facade monokrom yang menyerlahkan sentuhan dan kehalusan warisan negara serta pentas peragaan serba putih dan susun atur yang lebih segar. Dengan pentas peragaan yang mencerminkan bentuk jam pasir, ruang pertunjukan berkapasiti 500 tempat duduk ini akan menggabungkan susunan tempat duduk barisan hadapan, bertingkat (bleachers) dan berzon yang disusun rapi bagi mewujudkan pengalaman yang lebih organik dan imersif buat para tetamu.

Struktur menakjubkan dibina khas ini sekali lagi dilengkapi panel skrin LED size besar yang menyiarkan pertunjukan fesyen secara langsung, membolehkan para pengunjung Suria KLCC dan pencinta fesyen mengikuti setiap detik di pentas peragaan.

Terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi fesyen terunggul, Suria KLCC melangkaui ruang pertunjukan dengan meningkatkan pengalaman pengunjung menerusi siri pop-up yang berlangsung di seluruh ruang beli-belahnya, sekali gus membawa kemeriahan KLFW 2026 lebih dekat kepada para pengunjung. Direka sebagai satu pengembaraan interaktif yang meraikan bakat dan keunggulan fesyen tempatan, para pengunjung boleh menjangkakan pelbagai aktiviti pengaktifan menarik termasuk  pameran penggayaan oleh pelajar-pelajar fesyen di Isetan KLCC, pameran seni visual hasil karya penggiat industri oleh MOCCONA dan pop-up khas Jom Malaysia anjuran KPDN yang mempamerkan sentuhan jenama tempatan.

Membuat penampilan sulung di pentas KLFW 2026 adalah label PLAZÄ, NanaLyana, Asyraf Arrif, inisaya by Jeffery Goh, 99%ANGEL, CDH dan EMRI. Tidak asing dalam dunia fesyen, Sharifah Kirana akan menyerlahkan keanggunan rekaannya, sementara ManChien, yang dikenali ramai dengan sentuhan kreatif, menampilkan label baharunya, Super Structure. 

Nama-nama besar dalam industri fesyen tempatan, Rizman Ruzaini dan Fiziwoo, bakal tampil dengan persembahan berganda pada tahun ini. Rizman Ruzaini akan mempersembahkan dua pertunjukan fesyen berturut-turut, manakala Fiziwoo pula mengetengahkan Woo Brothers, barisan pakaian lelaki yang  merupakan lanjutan label utama mereka.

Keindahan serta kehalusan tekstil, tradisi dan seni dihidupkan menerusi kolaborasi antara  studio budaya material studio MUNI dan pereka fesyen, Jeff Yeong, selain penampilan sulung koleksi perusahaan sosial, Tanoti, di KLFW 2026. Sementara itu, KPDN menghidupkan semula segmen Fashion Forward Batik Malaysia yang menampilkan 30 rekaan eksklusif batik Malaysia Timur dan Barat daripada 10 pereka fesyen tempatan.

“Menerusi tema Destinasi: Tanah Air, KLFW 2026 membawa fesyen Malaysia kembali ke tempat asalnya, pada masa sama memacu perkembangan industri ini ke masa depan. Tahun ini kami memberi tumpuan kepada ruang dan pengalaman, mewujudkan lebih banyak peluang untuk masyarakat menghargai dan meraikan gaya, kisah dan budaya kita bersama. KLFW adalah lebih daripada siri pertunjukan fesyen. Ia merupakan satu pengalaman komuniti yang menyatukan pencinta fesyen, pencetus trend (trendsetter) dan segenap pengunjung untuk berhimpun dan menyaksikan sendiri semangat, kreativiti dan bakat tempatan yang dizahirkan dalam setiap rekaan yang terhasil,” kongsi Andrew Tan, Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week.

“Platform berskala besar ini hanya boleh direalisasikan menerusi jalinan usaha sama yang erat. Oleh itu, kami amat berterima kasih atas sokongan berterusan yang diterima daripada Suria KLCC dan  KLCC (Holdings) Sdn Bhd bersama Rakan Strategik Industri Utama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Kami juga menghargai kerjasama yang diberikan oleh penaja KLFW 2026 iaitu KPDN, Omoda & Jaecoo Malaysia, Panasonic Beauty, Tomei, L'Oréal Paris, L'Oréal Professionnel, MOCCONA dan Daia. Turut berkongsi komitmen dalam memajukan industri fesyen negara adalah rakan industri kami,  Bolon Eyewear, Isetan Kuala Lumpur, Magnum, Vida, LuasLink dan Tricia Lew, sementara Mandarin Oriental, Kuala Lumpur dan Traders Hotel Kuala Lumpur sekali lagi hadir sebagai hotel rasmi KLFW,” tambah beliau.

​Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata, “Buat julung kalinya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan kolaborasi strategik bersama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 dalam menggerakkan agenda memperkasa promosi produk tempatan. Inisiatif ini adalah susulan daripada pelancaran gerakan “Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA)” yang telah dilancarkan pada 27 Jun 2026 sebagai strategi transformasi kepada evolusi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang telah bermula sejak tahun 1984. Kerjasama ini menjadi platform strategik dalam usaha memartabatkan produk dan jenama tempatan menerusi penganjuran temasya fesyen bertaraf antarabangsa yang menjadi tumpuan pemain industri, peminat fesyen, pelancong dan media dari dalam dan luar negara.”

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, KLCC (Holdings) Sdn Bhd, menyatakan, “Kuala Lumpur Fashion Week terus menjadi peneraju dalam memperkasa bakat kreatif Malaysia, dan kami berbesar hati untuk sekali lagi mengalu-alukan penganjurannya di KLCC pada tahun ini. Kerjasama ini terus memperkukuhkan KLCC The Place sebagai destinasi dinamik yang menyatukan budaya, kreativiti dan komuniti. Sebagai rakan kerjasama, kami berbangga dapat menyokong sebuah platform yang terus berkembang dan semakin berpengaruh, menghimpunkan pereka baharu di samping nama-nama besar dalam industri fesyen, sekali gus mengetengahkan kekayaan serta kepelbagaian bakat Malaysia, dan menyemarakan KLCC The Place dengan semangat kreativiti Malaysia yang penuh inspirasi.” 

"Sebagai pusat utama bagi industri fesyen Malaysia, Suria KLCC amat berbesar hati untuk kembali bergabung tenaga  bersama Kuala Lumpur Fashion Week 2026 di Esplanade KLCC. Tema tahun ini, Destination: Home Ground, mencerminkan komitmen mendalam kami dalam memperkasakan kreativiti tempatan. Kami juga amat bangga kerana rakan runcit utama kami, Rizman Ruzaini, akan menerajui acara pembukaan rasmi bagi edisi ke-14 ini pada 3 Ogos. Di luar pentas peragaan, matlamat kami adalah untuk memupuk ekosistem yang menyokong perkembangan bakat tempatan, sekali gus mengangkat inovasi rekaan serta ekspresi kreatif Malaysia ke tahap nasional yang lebih tinggi. Suria KLCC kekal sebagai destinasi pengalaman terunggul di mana budaya, gaya, dan kecemerlangan peruncitan Malaysia bersatu dengan lancar,"  kata Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan CEO Suria KLCC Sdn Bhd.

Untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan fesyen negara, mengetahui jadual terkini, barisan pereka fesyen yang mengambil bahagian serta maklumat terkini Kuala Lumpur Fashion Week 2026, sila layari klfashionweek.website atau ikuti kemeriahannya di laman media sosial  @KLFashionWeek di Facebook dan Instagram.

Intipati
  • KLFW 2026 kembali ke Esplanade, Taman KLCC dari 3 hingga 9 Ogos.
  • Tema Destinasi: Tanah Air meraikan identiti Malaysia melalui lebih 50 pereka tempatan.
  • Program turut menampilkan pop-up, pameran pelajar fesyen dan segmen Fashion Forward Batik Malaysia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan