Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kuota BUDI95 Diselaraskan Kepada 200 Liter Sebulan Bermula 1 April - PM Anwar
PUTRAJAYA -- Kerajaan akan melaksanakan penyelarasan kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merangkap Menteri Kewangan dalam satu perutusan khas petang tadi.
Pelarasan tersebut mengambil kira bahawa hampir 90 peratus rakyat yang layak menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan dan tidak akan terjejas oleh perubahan had siling kelayakan BUDI95 itu, dengan purata penggunaan sebulan sekitar 100 liter.
"Kerajaan MADANI telah mengambil langkah awal dan bersasar bagi memastikan bekalan bahan api negara terus terjamin demi kesejahteraan rakyat tatkala ketidaktentuan bekalan global berikutan konflik di Asia Barat.
"Langkah proaktif ini digerakkan secara terancang bagi mengurus tekanan bekalan semasa tanpa menjejaskan majoriti pengguna, di samping memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi untuk tempoh yang lebih panjang.
"Meskipun bekalan bahan api negara ketika ini masih berada pada tahap terkawal, Kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam usaha memperkukuh jaminan bekalan serta mengurus permintaan secara berhemah," maklumnya menerusi kenyataan Kementerian Kewangan (MOF).
Tambah beliau, konflik yang berlarutan di Asia Barat telah memberi tekanan kepada pasaran tenaga global, dengan harga minyak mentah kini melepasi paras AS$100 setong, sekali gus meningkatkan beban subsidi negara secara mendadak.
Berdasarkan data, subsidi untuk RON95 dan Diesel bagi bulan Januari 2026 adalah sekitar RM0.7 bilion.
"Dengan keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasar, beban subsidi terus meningkat.
"Berdasarkan harga pasaran dua minggu lalu, ketika harga minyak mentah Brent berada sekitar US$90 setong, subsidi petrol dan diesel dianggarkan sekitar RM3 bilion sebulan.
"Kini dengan harga minyak mentah mencecah US$100 setong, beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan," kata beliau.
"Pada masa yang sama, Kerajaan akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan subsidi, di samping menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih berhemah.
"MOF juga tidak akan teragak-agak untuk menyekat kelayakan BUDI95 jika terdapat penyalahgunaan atau penyelewengan RON95 bersubsidi.
"Kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi serta mengambil langkah tambahan bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi untuk rakyat," kata Anwar.