Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lahad Datu Lokasi Strategik Tapak Pelancaran Satelit Asia Tenggara - Hajiji

lahad datu lokasi strategik
Kredit: Bernama

Lahad Datu Lokasi Strategik Tapak Pelancaran Satelit Asia Tenggara - Hajiji

LAHAD DATU, 16 April (Bernama) -- Lahad Datu dikenal pasti sebagai lokasi yang cukup strategik untuk dijadikan tapak pelancaran roket dan satelit utama bagi rantau Asia Tenggara.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata berdasarkan kajian akhir Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), daerah itu muncul sebagai pilihan paling sesuai untuk menempatkan kemudahan berkenaan.

“Banyak negeri telah melobi untuk menjadi lokasi tapak pelancaran satelit, namun petunjuk dan kajian menyeluruh jelas menunjukkan bahawa Lahad Datu merupakan lokasi paling sesuai untuk projek ini.

“Insya-Allah dalam beberapa tahun akan datang, jika tiada halangan, Lahad Datu akan secara rasmi berfungsi sebagai pusat pelancaran satelit dan roket bagi Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri majlis kesyukuran dan rumah terbuka Aidilfitri 2026 anjuran Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, di sini hari ini.

Hajiji berkata beliau yakin sekiranya projek itu direalisasikan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, ia akan menjadi pemangkin ekonomi yang besar bagi daerah tersebut.

Penubuhan tapak pelancaran itu dijangka menarik ramai pelawat, termasuk saintis angkasa antarabangsa, penyelidik dan pelabur teknologi ke Lahad Datu.

Hajiji berkata di sebalik projek mega ini, kerajaan negeri memberi jaminan kekal komited untuk membawa pembangunan berterusan ke Lahad Datu di samping mengutamakan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah. Kita mempunyai hala tuju yang jelas dan telah mencapai banyak kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji mengambil kesempatan menyeru rakyat Lahad Datu agar terus bersatu dan menyokong kerajaan semasa demi kebaikan bersama.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tuduhan, dakwaan atau fitnah politik yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jangan dengar fitnah. Sebagai umat Islam, kita mesti menegakkan kebaikan dan kebenaran. Apa yang dilakukan oleh kerajaan perlu disampaikan dengan tepat kepada rakyat supaya ia akhirnya tidak memudaratkan kita,” katanya.