Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lapan Individu Terkandas Di Bukit Larut
IPOH, 3 Nov (Bernama) — Lapan individu terkandas di Pusat Peranginan Bukit Larut dekat Taiping semalam selepas tiga wanita mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti pendakian.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata dua mangsa mengalami kekejangan otot pada kaki manakala seorang lagi terseliuh dan lima individu lain iaitu tiga wanita serta dua lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taiping bergegas ke lokasi kejadian sejauh empat kilometer selepas menerima panggilan kecemasan pada 6.53 petang.
“Ketua operasi mengaplikasikan konsep LAST seterusnya mengarahkan anggota bersama-sama pihak polis dan pengurusan Bukit Larut ke lokasi di atas bukit bagi melakukan kerja-kerja penyelamatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Shazlean berkata pasukan penyelamat menemui semua mangsa di pertengahan jalan dari lokasi kumpulan itu dilaporkan berada setelah mereka dibantu oleh seorang individu (orang awam) yang bertindak sebagai penunjuk arah bagi menuruni bukit.
Beliau berkata wanita yang mengalami masalah kaki terseliuh telah diberikan rawatan awal oleh pasukan penyelamat di lokasi sebelum kesemua mangsa dibawa turun serta diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, dan operasi tamat kira-kira tiga jam kemudian.
BACA: Pendaki Hilang Di Gunung Liang Dua Hari Lepas Ditemukan Maut
Sumber: BERNAMA