Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lapan Kenderaan Polis Kejar Suspek Curi Kabel Di Seremban, Dua Ditahan

curi kabel
Kredit:

Lapan Kenderaan Polis Kejar Suspek Curi Kabel Di Seremban, Dua Ditahan

Sekurang-kurangnya lapan kenderaan polis dilaporkan mengejar dan mengepung sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki selepas suspek dipercayai melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Tun Dr Ismail, Seremban, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel berdasarkan penemuan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.

Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.45 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah kereta peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah mengejar sebuah Proton Waja yang melarikan diri ketika cuba diperiksa di sekitar Jalan Tun Dr Ismail.

“Dalam kejadian itu, kenderaan yang dinaiki suspek berjaya dihalang dan dua lelaki berjaya ditahan, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Yatim berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan sebanyak 14 alatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel serta beberapa senjata berjadual.

Selain itu, polis turut menemui dua paket plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah.

“Hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas dalam kegiatan curi kabel di sekitar Seremban,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai tujuh dan 10 rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah serta dadah.

Menurutnya, semakan ke atas Proton Waja tersebut mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang wanita dan dipercayai digunakan oleh suspek yang masih melarikan diri.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Seremban esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Amram Ismail di talian 019-9661346 atau bilik gerakan IPD Seremban di talian 06-6033222.