Lebih 1,400 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan dan melepasi saringan temu duga menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam satu kenyataan hari ini, lebih 7,200 pencari kerja menghadiri karnival berkenaan sepanjang dua hari penganjurannya.
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, calon yang berjaya melepasi peringkat temu duga secara terus menerima tawaran pekerjaan dengan gaji mencecah sehingga RM8,000.

“ K a r n i v a l yang dihadiri lebih 7,200 pencari kerja ini adalah antara pendekatan kerajaan untuk memperkukuh pasaran buruh negara dengan memastikan pertumbuhan peluang pekerjaan turut disokong sistem padanan tenaga kerja yang lebih cekap, responsif dan dinamik.
“Usaha KESUMA menerusi PERKESO ini turut selari dengan agenda Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menangani isu ketidakpadanan kerjaya berkaitan kemahiran,” katanya.
Sementara itu, peserta karnival, Janani Arifah, 23, berkata program berkenaan banyak membantunya selepas berjaya memperoleh pekerjaan sebagai Internal Communications, Culture and Engagement, Group of Human Resource Management di KPJ Healthcare Berhad.
Katanya, karnival kerjaya seperti itu memberi peluang kepada graduan dan pencari kerja yang masih belum mendapat pekerjaan untuk berinteraksi dengan lebih ramai majikan dalam satu-satu masa berbanding kaedah konvensional.
Pandangan sama turut dikongsi Lee Jiang Hui, 21, yang hadir untuk mencuba nasib pada karnival berkenaan.
Menurut graduan Diploma Pentadbiran Perniagaan, Universiti Tunku Abdul Rahman Pengurusan dan Teknologi (TAR UMT) itu, platform berkenaan menjadi ruang untuk mendapatkan kerjaya idaman selain mengasah kemahiran menghadiri temu duga.
Majikan turut manfaat platform padanan bakat
Daripada perspektif majikan pula, karnival berkenaan dilihat sebagai platform untuk mendapatkan bakat tempatan dengan lebih pantas dan cekap.
Wakil IBM Malaysia, Aimi Che Rahim yang juga Selection Specialist, Global Delivery Network, APAC berkata, syarikat itu menerima sambutan menggalakkan pada hari pertama karnival apabila 93 calon mendaftar dan menghantar permohonan terus ke sistem syarikat.
“Daripada lapan calon yang ditemu duga di tempat kejadian, tiga calon lulus dan disyorkan untuk diambil bekerja, dua calon akan meneruskan temu duga kedua bagi penilaian bahasa dan kemahiran, manakala tiga calon lagi tidak disenarai pendek kerana latar belakang tidak sepadan dengan kemahiran yang diperlukan,” ujarnya.
Jelasnya, pendekatan temu duga secara terus seperti itu memudahkan majikan menilai calon berdasarkan kemahiran dan kelayakan yang diperlukan.
Untuk rekod, program berkenaan turut mendapat penglibatan majikan utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Malaysia Airports Holdings Berhad, Prasarana Malaysia Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut menyokong program itu dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada pengunjung.
Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan tahap kemahiran termasuk maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.
Lebih separuh atau 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan menawarkan gaji melebihi RM3,000 sebulan, dengan jawatan Eksekutif Akaun bermula sekitar RM3,000, manakala jawatan tertentu seperti pengurus IT menawarkan gaji sehingga RM17,000 sebulan.
Peserta turut mendapat akses kepada perkhidmatan semakan resume profesional dan khidmat kaunseling kerjaya sepanjang program berlangsung.

