Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lebih 200 Kanak-Kanak Keracunan Akibat Makanan Bercampur Cat

Hannah
200 kanak-kanak keracunan
Gambar: CNN

Lebih 200 Kanak-Kanak Keracunan Akibat Makanan Bercampur Cat

Lebih 200 murid tadika di barat laut China disahkan mengalami paras plumbum tinggi dalam darah selepas pekerja dapur dipercayai menggunakan cat sebagai pewarna makanan, menurut pihak berkuasa tempatan.

Berdasarkan laporan rasmi kerajaan bandar Tianshui seperti dilapor CNN, lapan individu telah ditahan, termasuk pengetua dan pelabur utama tadika swasta itu, kerana disyaki menghasilkan makanan beracun dan membahayakan.

Hasil siasatan mendapati pengetua dan pelabur tersebut telah mengarahkan kakitangan dapur mencampurkan pigmen cat ke dalam makanan murid bagi menjadikannya kelihatan lebih menarik.

Tindakan itu dipercayai dilakukan untuk menarik lebih ramai pelajar dan meningkatkan pendapatan tadika. Malangnya, ia mengakibatkan pencemaran serius terhadap makanan.

233 murid tunjuk paras plumbum abnormal

Daripada 251 murid yang berdaftar di tadika tersebut, seramai 233 didapati mempunyai paras plumbum tidak normal dalam darah, dan setakat ini 201 murid sedang dirawat di hospital.

Kesan pendedahan terhadap plumbum boleh memberi kemudaratan jangka panjang terhadap perkembangan otak, tingkah laku dan kecerdasan (IQ) kanak-kanak.

Bagaimanapun, CNN melaporkan bahawa laporan perubatan lengkap masih belum didedahkan kepada umum.

Media tempatan turut melaporkan kenyataan seorang profesor pediatrik yang menyatakan bahawa terdapat kemungkinan besar berlakunya keracunan plumbum kronik, iaitu pendedahan berterusan selama lebih tiga bulan.

Makanan melebihi 2,000 kali had selamat

Dalam siasatan yang dijalankan, dua sampel makanan, iaitu kek kukus kurma merah dan roti jagung bersosej, didapati mengandungi plumbum melebihi 2,000 kali ganda daripada had selamat kebangsaan.

Bahan pewarna cat yang digunakan turut dirampas dan disahkan mengandungi plumbum, malah dibungkus dengan label jelas “tidak boleh dimakan”, menurut laporan tersebut.

Ibu bapa tuntut penjelasan

Seorang ibu kepada salah seorang murid memberitahu media bahawa beliau menerima keputusan dari hospital di bandar lain yang menunjukkan paras plumbum dalam darah anaknya mencecah 528 mikrogram seliter.

Bacaan itu jauh melebihi paras “keracunan serius” yang ditetapkan oleh Agensi Kesihatan Nasional China, iaitu 450 mikrogram seliter.

Ramai ibu bapa juga mula mempertikaikan ketelusan siasatan yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab.

Malah, ada yang terpaksa membawa anak mereka ke bandar besar seperti Xi’an untuk menjalani ujian darah kerana pihak sekolah tidak mengeluarkan keputusan secara individu.

Dalam satu laporan, seramai 70 murid yang diuji di Xi’an menunjukkan paras plumbum melepasi tahap keracunan, dengan enam daripada mereka melebihi paras bahaya.

Ibu bapa turut hairan bagaimana makanan yang hanya dihidangkan sekali atau dua kali seminggu boleh menyebabkan keracunan seteruk itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Tianshui, Liu Lijiang, berjanji akan “melakukan apa sahaja bagi memastikan rawatan dan pemulihan murid terbabit”.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk menutup segala kelemahan dalam sistem pengawasan keselamatan makanan awam di bandar itu.

BACA: Iran Serbu Bengkel Dron Didakwa Dikendalikan Ejen Israel

BACA: Pemain Tenis India Maut Ditembak Bapa

BACA: 15 Polis Filipina Disiasat Babit Kes Bunuh Puluhan Penyabung Ayam

Sumber: CNN