Lee Chean Chung mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya pada Jumaat.
Keputusan itu dilakukannya susulan keputusan penggantungan keahliannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga tahun pada 30 September.
Dalam satu kenyataan media, Chean Chung mendakwa sebelum ini akses terhadap peruntukan RM3 juta untuk Petaling Jaya telah disekat dan digunakan oleh wakil parti.
Lee Chean Chung Letak Jawatan
“Kini keadaan menjadi lebih serius, saya tidak lagi boleh berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti, sedangkan pengurusan peruntukan kawasan pula diambil alih melalui proses yang tidak telus.
“Selama ini saya bersuara mengenai pelbagai isu rakyat, isu URA, sistem yang memonopoli pengambilan pekerja asing, cukai SST, Kemasukan pemegang STPM ke universiti yang kurang adil, garis panduan RIBI Selangor dan banyak lagi.
“Jangkaannya, Ini antara sebab-sebab yang mengakibatkan saya digantung. Namun, masalah rakyat tidak akan berhenti hanya kerana saya diarahkan untuk diam.
“Adakah saya patut terus menerima gaji sebagai Ahli Parlimen tetapi hanya duduk senyap seperti tunggul?” dakwanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau juga berkata semakin keliru dan sukar untuk memahami hala tuju kerajaan.
“Sebagai Ahli Parlimen penyokong kerajaan, mungkin ramai menyangka saya mengikuti strategi sebenar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan hala tuju negara.
“Hakikatnya, saya juga seperti rakyat biasa, semakin keliru dan sukar memahami hala tuju kerajaan ini.
“Dahulu, PH mengkritik BN dan PN kerana gagal membawa negara ke arah yang betul.
“Hari ini, apabila berdepan pelbagai kontroversi, kita pula semakin kerap diminta meyakinkan diri bahawa “sekurang-kurangnya kerajaan sekarang lebih baik daripada dahulu”

“Dahulu kita melaungkan bahawa rakyat ialah tuan kepada negara. Hari ini, rakyat pula yang perlu memujuk diri sendiri.
“Ketika era Najib, PH memperkenalkan istilah kleptokrasi kepada rakyat Malaysia.
“Selepas lebih tiga tahun berada dalam Kerajaan Perpaduan, rakyat pula semakin mengenali istilah Corporate Mafia dan DNAA, dilepas tanpa dibebaskan.
“Dahulu, PH mendesak Azam Baki berundur. Hari ini, isu pemilikan saham berlebihan dan dakwaan berkaitan mafia korporat masih menimbulkan persoalan besar terhadap kebebasan serta kredibiliti institusi negara,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada PKR kerana memberi peluang buatnya selama 18 tahun.
“PKR ialah parti politik pertama yang saya sertai. Saya tinggalkan kerjaya korporat, dan memberikan sebahagian besar usia muda saya kepada perjuangan ini kerana saya percaya politik harus digunakan untuk membela mereka yang diperlakukan secara tidak adil.
“Dari 2008 hingga 2022, saya melalui tekanan politik, turun ke jalan raya kerana skandal 1MDB, didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman dan berulang kali hadir ke mahkamah. Saya tidak pernah menyesal.
“Saya berterima kasih kepada PKR atas peluang sepanjang 18 tahun ini dan kepada rakan-rakan seperjuangan yang masih percaya kepada politik bersih, reformasi institusi dan sebuah Malaysia yang meraikan kepelbagaian.
“Tetapi kerana begitu ramai rakyat pernah menyokong perjuangan ini tanpa meminta balasan, saya tidak boleh terus mencari alasan untuk mempertahankan perkara yang saya sendiri tidak lagi mampu pertahankan,” katanya.
Chean Chung turut menzahirkan terima kasih kepada rakyat Petaling Jaya yang terus bersamanya.
Menurutnya Pusat Khidmat Petaling jaya akan terus beroperasi seperti biasa walaupun beliau telah meletakkan jawatan.
“Saya akan terus berdiri bersama rakyat Petaling Jaya dan menghubungkan kekuatan rakyat untuk mengubah budaya politik lama yang tidak lagi sesuai dengan Malaysia hari ini.
“Marilah kita terus percaya bahawa hanya apabila kita berani membebaskan diri, kita boleh terus melangkah dan bersinar pada masa hadapan,” katanya
