Selangor FC mencipta kejutan apabila menampilkan legenda kelab, Bambang Pamungkas, sebagai tetamu khas pada majlis pelancaran jersi The Red Giants bagi musim 2026/27 di Pusat Latihan Selangor FC, hari ini.
Bambang Pamungkas buat penampilan khas
Dalam majlis berkenaan, Bambang yang pernah menyarung jersi Selangor dari 2005 hingga 2007 muncul dari belakang pentas diiringi lagu Merah Kuning, sebelum tampil mengenakan jersi lengkap bernombor 20, nombor yang cukup sinonim dengannya ketika beraksi bersama pasukan itu.
Lebih menarik, Selangor turut memperkenalkan jersi berjenama Adidas, sama seperti yang digunakan ketika era Bambang bersama kelab berkenaan.
Bekas penyerang Indonesia itu mencipta kenangan manis sepanjang tempoh tiga tahun bersama Selangor apabila membantu pasukan tersebut meraih gelaran treble pada 2005, membabitkan kejuaraan Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA.
Pada musim sama, Bambang turut meraih Anugerah Kasut Emas Liga Perdana selepas meledak 23 gol.
Secara keseluruhan, Bambang merekodkan 63 penampilan dan 42 gol sepanjang bersama Selangor, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain import paling dikenang dalam sejarah The Red Giants.
Kehadiran legenda Indonesia itu pada majlis pelancaran jersi musim baharu turut mengimbau kembali era kegemilangan Selangor, khususnya ketika Bambang menjadi antara tonggak utama kejayaan kelab tersebut pada pertengahan 2000-an.


