Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lelaki Didakwa Memandu Di Bawah Pengaruh Dadah, Sebabkan Kematian Tiga Beranak
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, Rabu lepas.
Tertuduh, 42, didakwa memandu Perodua Aruz di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, 34, Nik Aishah Asilah Nik Mohd Zamzuri, 32, dan Muhammad Rafie Hanzal Hafifi berumur tiga tahun di Jalan Batu 17 Hulu Langat pada 7.56 pagi.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh dihukum di bawah Subseksyen (1) akta sama, iaitu hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan atau 20 tahun bagi sabitan kali kedua dan seterusnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.
Peguam S. Priyalatha yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM1,000 sebulan serta mempunyai isteri dan dua anak yang masih bersekolah.
"Tertuduh juga menanggung ibu bapa yang sakit tua dan bergantung kepada ubat-ubatan," katanya.
Majistret Fatin Dayana Jalil membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan 18 Sept untuk sebutan kes.
Bernama sebelum ini melaporkan tiga beranak maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Perodua Aruz di Jalan Batu 17, Hulu Langat pada 29 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan polis menahan pemandu kereta terbabit selepas lelaki itu didapati positif dadah.