KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Seorang lelaki gelandangan dipercayai mengalami masalah mental, ditahan kerana disyaki terlibat dengan tujuh kes kebakaran kenderaan bagi tempoh 15 Jun hingga semalam.
Suspek ditahan di Jalan Besar Kepong, di sini, semalam selepas dia dipercayai membakar sebuah lori jenis Mitsubishi di Jalam Ambong 1, pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata suspek yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri itu ditahan kira-kira 3 pagi ketika sedang mengayuh basikal.
Beliau berkata penahanan itu dilakukan selepas polis mendapat maklumat dan hasil risikan yang suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian kebakaran lori di Jalan Ambong 1.
“Kebakaran itu berjaya dipadamkan namun lori terbabit mengalami kerosakan di bahagian kepala lori menyebabkan kerugian sebanyak RM10,000.
“Kurang dua jam selepas itu, polis menerima satu lagi laporan mengenai kebakaran sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso di Jalan Mergastua, Kepong Baru dan kenderaan itu terbakar hampir 70 peratus pada hari yang sama (Isnin lepas),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beh berkata suspek direman bermula semalam hingga 5 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kianat dengan api.
Sumber: BERNAMA