Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Indonesia Hairan Dengan Sistem Stesen Minyak Di Malaysia, Tak Sangka Ada Kelebihannya

Lelaki Indonesia Hairan
Kredit: Handy Surakhman

Bagi rakyat Malaysia, mengisi minyak sendiri di stesen minyak sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan seharian.

Namun, tahukah anda bahawa tidak semua negara menggunakan sistem yang sama? Di Indonesia misalnya, pelanggan lazimnya dibantu oleh petugas ketika mengisi minyak kenderaan.

Perbezaan ini ternyata menarik perhatian seorang lelaki Indonesia yang bekerja di Malaysia apabila dia pada mulanya berasa hairan melihat pelanggan perlu mengisi petrol sendiri.

Lelaki Indonesia hairan dengan sistem stesen minyak malaysia

Menerusi video di TikTok, Handy Surakhman berkata dia tertanya-tanya mengapa sistem itu berbeza dengan negaranya dan telah mendapat jawapan mengenainya.

“Sepanjang berada di Malaysia, ada satu perkara yang pada mulanya terasa pelik bagi saya.

“Di sini, kita perlu mengisi minyak kenderaan sendiri. Tiada petugas yang datang membantu seperti di Indonesia.

“Pada mulanya, saya tertanya-tanya mengapa sistemnya berbeza. Rupa-rupanya, dari sudut perniagaan, sistem ini mempunyai kelebihannya tersendiri,” katanya.

Menurutnya lagi, stesen minyak tidak memerlukan pekerja khusus untuk mengisi minyak bagi setiap kenderaan.

Malah, pekerja yang sedia ada pula boleh ditugaskan untuk melakukan kerja lain.

“Selepas saya fikirkan semula dan melihat dari sudut pandangan seorang peniaga, sistem stesen minyak yang tidak menggunakan pekerja khusus untuk mengisi minyak sebenarnya lebih efisien dan efektif.

“Kenapa? Cuba anda bayangkan, berapa ramai petugas yang diperlukan di sebuah stesen minyak? Katakanlah sebuah stesen minyak memerlukan empat orang pekerja untuk mengisi minyak kenderaan pelanggan.

“Jika empat pekerja tersebut ditugaskan untuk melakukan kerja lain, operasi perniagaan akan menjadi lebih efisien tanpa perlu menambah bilangan pekerja.

“Contohnya, mereka boleh memberikan tumpuan kepada tugas menjaga kebersihan, menguruskan operasi stesen minyak dan membantu pelanggan. Jadi, perniagaan boleh menjadi lebih menguntungkan dan efisien,” ujarnya.

Pun begitu, Handy turut tertanya-tanya sama ada sistem ini sesuai dilaksanakan di Indonesia atau tidak.

Dia mengakui perkara tersebut bukanlah semudah yang disangkakan kerana Indonesia bukanlah kekurangan tenaga kerja, sebaliknya kekurangan peluang pekerjaan.

“Jadi, walaupun sistem yang digunakan di Malaysia ini lebih efisien dari sudut perniagaan, ia tidak semestinya boleh dilaksanakan secara terus di semua stesen minyak di Indonesia.

“Kalau mengikut pilihan anda, adakah anda lebih suka mengisi minyak sendiri atau dibantu oleh petugas?,” katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen di video itu, ramai yang bersetuju dengan pendapatnya. Namun, ada juga netizen Malaysia yang menjelaskan bahawa ia juga berkait dengan isu keselamatan dan kesihatan.

“Sebenarnya lebih kepada isu safety. Petrol/diesel tu kan ada VOC - volatile organic compound. Pekerja yang mengisi minyak akan bekerja sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Pekerja akan menghidu VOC ni sepanjang hari dan ini tak baik untuk kesihatan pekerja (occupational exposure). Sebab tu Malaysia mansuhkan job pump attendant ni. Kita isi sendiri hanya ambil masa 5 minit terdedah kepada VOC ni so tak bahaya sangat compare dengan 8 jam straight hidu bau minyak/ voc.”

“Lagi satu sebabnya kesihatan, pekerja tak boleh terdedah dengan benzene terlalu kerap boleh menyebabkan cancer. sebab tu dah takda pekerja yang jaga sebab nak kurangkan masa terdedah benzene”

Sementara itu, ada netizen Indonesia berpendapat bahawa sistem itu tidak boleh diterapkan di Indonesia.

“Dalam hal ini, sistem tersebut sangat sukar untuk dilaksanakan di Indonesia kerana jumlah penduduk negara kita yang terlalu ramai. Cuba bayangkan, di Indonesia, barisan kenderaan yang menunggu untuk mengisi minyak boleh mencecah sehingga beberapa kilometer. Jadi, kalau semua orang perlu mengisi minyak sendiri, boleh bayangkan betapa kelam-kabutnya keadaan di stesen minyak nanti.”

“Itu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Indonesia yang masih belum mampu memulakan perniagaan sendiri, bang. Kita juga perlu mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Kalau semuanya diubah menjadi lebih efisien, jumlah pengangguran akan meningkat dan boleh menyebabkan berlakunya lebih banyak kes jenayah.”

Intipati
  • Handy Surakhman hairan pelanggan di Malaysia perlu mengisi minyak kenderaan sendiri.
  • Beliau berkata sistem itu boleh menjadikan operasi stesen minyak lebih efisien.
  • Netizen mengaitkan sistem berkenaan dengan faktor kesihatan, keselamatan dan peluang pekerjaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan