Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Memandu Di Bawah Pengaruh Dadah Langgar Lima Kenderaan

lelaki memandu dadah
Gambar: BERNAMA

Lelaki Memandu Di Bawah Pengaruh Dadah Langgar Lima Kenderaan

SHAH ALAM (Bernama) -- Lima kenderaan termasuk sebuah trak makanan rosak selepas dilanggar seorang lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah di Jalan Sepadu, Klang, dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramsay Embol berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu suspek berusia lingkungan 30-an sedang dalam perjalanan dari arah Rantau Panjang menghala ke Bandar Sultan Suleiman.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta suspek telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar beberapa kenderaan, termasuk sebuah trak makanan yang diparkir di bahu jalan.

Tiada mangsa cedera

“Tiada mangsa yang cedera dan kesemua pihak telah tampil membuat laporan polis. Ujian saringan air kencing pemandu SUV itu didapati positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Utara Inspektor Surihan Samsudin menerusi talian 013-2082327.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular dalam media sosial video yang memaparkan sebuah SUV terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan kerosakan terhadap sebuah kedai menjual cendol dan beberapa kenderaan lain.