Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Terpaksa Jual Semula Rumah Yang Dibeli Serendah RM469

lelaki terpaksa jual semula rumah
Gambar via Mirror

Seorang lelaki terpaksa menjual semula rumahnya yang pernah dibeli dengan harga serendah RM469 satu ketika dulu gara-gara gagal mencari pekerja untuk merenovasinya, lapor Mirror.

Lelaki tersebut, Danny McCubbin, 58, membeli rumah itu di Mussomeli di Sicily, Itali ketika kempen Case 1 Euro berjalan bagi menggalakkan warga asing memiliki rumah.

Difahamkan, lelaki yang berasal dari Australia itu pernah menetap di United Kingdom (UK) selama lebih kurang 17 tahun sebelum memutuskan untuk membeli rumah di Itali dengan harga murah.

Bagaimanapun, terdapat syarat yang perlu dipatuhi sebelum dia memiliki hak ke atas rumah tersebut secara mutlak, iaitu perlu mengubah suainya dalam tempoh tiga tahun.

“Dengan kekurangan tenaga kerja dalam industri pembinaan di Itali menjadikan syarat tersebut agak sukar untuk saya penuhi.

“Jadi, saya yang telah bekerja bersama Jamie Oliver’s Fifteen Foundation gagal mendapatkan sesiapa (pekerja) untuk membantu mengubah suai rumah tersebut dalam jangka masa yang diberikan.

“Oleh itu, saya terpaksa menjual semula rumah tesebut kepada agensi hartanah selepas hanya beberapa bulan menerima bayaran semula kerana sukar mencari juru bina.

“Sangat sukar mencari buruh binaan untuk mengubah suai rumah ini hingga ia kelihatan usang.

“Saya ada menemukan sebuah syarikat pembinaan, namun ia menelan kos hampir dua kali ganda untuk pengubahsuaian dan ia sangat tidak berbaloi,” katanya kepada iNews, lapor Mirror.

Memetik Mirror, Danny berkata bahawa dia berasa kecewa kerana telah serasi dengan gaya kehidupan yang tenang di Mussomeli – sebuah bandar yang hanya mempunyai 11,000 penduduk.

Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi penghalang kerana dia telah berjaya membeli rumah murah yang lain dengan harga lebih kurang RM28,000 yang tidak memerlukan kerja yang banyak.

Di samping itu juga, dia turut berjaya mendapatkan pekerja binaan untuk melakukan kerja-kerja renovasi yang kecil dengan bayaran RM17,000.

“Sekarang saya telah menetap di rumah tersebut dengan membuka ‘dapur komuniti’ dan menghantar makanan kepada keluarga yang memerlukan secara percuma.

“Saya telah berpindah ke sini pada akhir tahun 2020 kerana saya sendiri yang memilih untuk tinggal di Itali apabila Brexit terjadi.

“Sejak dari dulu saya memang ingin tinggal di Sicily dan ibu bapa saya juga sukakan kawasan luar bandar.

“Jadi saya bertanya kepada diri saya ‘apa yang hilang di Mussomeli’ dan tercetuslah idea ‘The Good Kitchen’,” jelasnya, lapor Mirror.

Disebabkan kekurang buruh binaan, Timbalan Menteri Mussomeli cuba mengurangkan tekanan terhadap pemilik rumah yang sangat memerlukan buruh binaan untuk mengubah suai rumah mereka.

Oleh itu, Datuk Bandar, Toti Nigrelli telah berjanji untuk mengurangkan kadar bayaran buruh binaan dengan harapan lebih ramai yang dapat membeli rumah dengan kos yang rendah.

“Perusahaan tempatan akan sibuk dengan projek pengubahsuaian rumah sehingga tahun 2024, disebabkan itu mereka terpaksa menolak kontrak baharu.

“Namun tidak lama lagi, kami akan masukkan syarikat pembinaan dari luar untuk membantu,” katanya, lapor Mirror.

Sumber: Mirror