Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lelaki Warga Emas Dilapor Maut, Korea Selatan Catat Kes Pertama Jangkitan Amoeba Pemakan Otak
Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria fowleri atau dikenali sebagai ‘amoeba pemakan otak’, pada Isnin.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) telah mengesahkan kematian seorang warganegaranya yang baru sahaja kembali dari Thailand pada 10 Disember lalu.
Difahamkan, mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an tersebut telah menetap di sana selama empat bulan, sebelum kembali ke negara asalnya di Korea Selatan dan meninggal dunia pada Selasa minggu lepas.
Memetik laporan Korea Times, ini merupakan kes pertama jangkitan yang dilaporkan di Seoul selepas Naegleria fowleri mula dikesan di Virginia, Amerika Syarikat pada 1937.

Untuk makluman, Naegleria fowleri merupakan sejenis amoeba atau mikroorganisma sel tunggal yang hidup di dalam pelbagai ekosistem di seluruh dunia seperti tanah dan air tawar hangat seperti mata air panas, tasik dan sungai.
Selain itu, amoeba ini akan memasuki sistem badan manusia menerusi hidung dan menuju ke bahagian otak serta merosakkan tisu organ tersebut.
Dalam pada itu, jangkitan Naegleria fowleri memiliki beberapa simptom awal termasuklah sakit kepala yang teruk, demam, loya atau muntah-muntah.
Manakala, tempoh inkubasi bagi amoeba ini pula biasanya mengambil masa dua hingga tiga hari ataupun boleh menjangkau sehingga 15 hari.
Di samping itu, pihak KDCA telah menasihatkan orang ramai supaya tidak berenang di kawasan perairan, yang mana penyakit tersebut dikesan walaupun penyebaran dari manusia ke manusia kelihatan agak mustahil.
Berdasarkan statistik, sebanyak 381 kes Naegleria fowleri telah dilaporkan di seluruh dunia termasuk India, Thailand, Amerika Syarikat (AS), China dan Jepun setakat 2018.
Dalam masa yang sama, sebanyak 154 kes jangkitan ‘amoeba pemakan otak’ yang dilaporkan dari 1962 sehingga 2021.
Jangkitan amoeba ini kelihatan sangat berbahaya kerana berdasarkan jumlah jangkitan sebelum ini, hanya empat pesakit terselamat dengan kadar kematian lebih dari 97 peratus, lapor Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat.
Sumber: Sinar Harian dan Korea Times