Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lima Lagi Kluster Covid-19 Dikesan Pada Hari Terakhir 2020 – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lima lagi kluster baharu COVID-19 hari ini iaitu di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster di seluruh Malaysia kini sebanyak 511 manakala kluster aktif yang dipantau ialah 225.

Beliau berkata kluster pertama iaitu Kluster Jalan Gajah di daerah Klang, Selangor melibatkan penularan di tempat kerja dengan kes pertama dikesan pada 13 Dis melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

“Sehingga hari ini (31 Dis), sejumlah 90 individu telah disaring yang mana 22 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Jalan Datuk pula membabitkan daerah Titiwangsa, Kepong dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur, daerah Klang dan Hulu Langat di Selangor serta di Putrajaya.

Beliau berkata kes kluster tersebut mula dikesan pada 26 Dis lepas hasil saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, 23 kes dikesan positif COVID-19 daripada sejumlah 34 individu yang telah disaring.

Dr Noor Hisham berkata kluster ketiga iaitu Kluster Kampung Baharu pula melibatkan daerah Johor Baharu dan Pontian di Johor dengan kes mula dikesan pada 23 Dis lepas melalui saringan bersasar di sebuah kilang serta saringan kontak rapat.

Sehingga hari ini, sejumlah 194 individu telah disaring dan 35 dikesan positif COVID-19 dalam kluster itu.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Pekeliling juga melibatkan kluster tempat kerja di daerah Johor Bahru dan kes dalam kluster itu mula dikesan melalui saringan bersasar di sebuah kilang pada 21 Dis lepas.

“Sehingga hari ini, sejumlah 185 individu telah disaring dalam kluster ini dan daripada jumlah itu, 27 kes telah dikesan positif COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster terakhir iaitu Kluster Jalan Rasah yang melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dan Putrajaya membabitkan kes Pernafasan Akut Teruk yang mula dikesan pada 23 Dis lepas.

“Sehingga hari ini, 17 kes daripada 47 individu yang disaring dalam kluster tersebut positif COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Teduh di Lahad Datu, Sabah; Kluster Jaya di daerah Sepang dan Seremban serta Kluster Berendam di Alor Gajah dan Melaka Tengah di Melaka.

— BERNAMA