KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menyeludup dadah ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa susulan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua individu ditahan dalam beberapa serbuan yang dijalankan dengan kerjasama TUDM di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada Selasa lepas.
Beliau berkata operasi itu turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki metamfetamina atau syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kg cecair bahan kimia.
Hasil siasatan awal mendapati dua daripada suspek awam dipercayai berperanan sebagai penyelaras yang mengatur dan menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.
“JSJN kini giat mengesan seorang lagi warganegara Malaysia yang dipercayai ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi dan mengenal pasti pihak lain yang terlibat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lepas dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara TUDM untuk menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa khususnya Filipina dan Indonesia.
“Modus operandi ini memperlihatkan tahap keberanian dan kelicikan sindiket dalam mengeksploitasi kemudahan serta kepercayaan yang diberikan kepada individu tertentu dalam institusi keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata kesemua pegawai TUDM direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 24 Nov ini manakala suspek awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan.
Saringan air kencing mendapati dua daripada suspek awam positif metamfetamina manakala seorang lagi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Hussein berkata dadah yang dirampas berpotensi menjejaskan sehingga 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan.
Beliau berkata JSJN turut menyita dua kenderaan, iaitu Honda CR-V dan Toyota Vios dengan nilai keseluruhan RM126,062 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah berdepan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Hussein berkata JSJN merakamkan penghargaan kepada TUDM khususnya Cawangan Provos Marsyal atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sehingga membawa kepada kejayaan operasi itu.
Beliau berkata fokus penguatkuasaan bukan sekadar menangkap pengedar dan merampas bekalan dadah tetapi juga menumpaskan dalang utama, memutuskan rangkaian pengedaran serta melumpuhkan sumber kewangan sindiket.
“Tiada individu yang kebal daripada undang-undang dan tiada sindiket yang terlalu berpengaruh untuk ditumpaskan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 di Shenzhen, China memaklumkan kerajaan tidak akan berkompromi dengan kegiatan penyeludupan dadah dan rasuah yang melibatkan juruterbang serta anggota keselamatan termasuk pegawai TUDM.
Anwar berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia berhubung kes terbaharu yang melibatkan anggota TUDM termasuk pegawai berpangkat leftenan dan kapten serta juruterbang.

