Lima rakyat Malaysia dilaporkan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup dadah jenis etomidate dengan menyembunyikannya di dalam kasut.
Memetik laporan media CNN Indonesia, kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 49 tahun itu dipercayai bertindak sebagai kurier dan membawa keseluruhan kira-kira lima kilogram etomidate.
Menurut Pengarah Tindak Pidana Narkoba Bareskrim Polri, Inspektor Jeneral Eko Hadi Santoso, kes itu terbongkar selepas lima rakyat Malaysia berkenaan ditahan pihak Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 25 September lalu.
Mereka dilaporkan tiba dari Kuala Lumpur menerusi penerbangan AirAsia QZ201.
Etomidate Dadah disorok dalam kasut, 5 Rakyat Malaysia Ditahan
“Mereka berperanan sebagai kurier,” katanya dalam kenyataan bertulis pada Isnin (28 September).
Selain lima warga Malaysia itu, pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki dari Bandung, Jawa Barat, yang dikenali dengan singkatan SSS, yang bertindak sebagai pemandu.
Setiap individu dipercayai membawa dua bungkusan dengan berat kira-kira 500 gram setiap satu.
“Bahan berkenaan disembunyikan di bahagian tapak dalam kasut. Secara keseluruhan, sebanyak 10 bungkusan dengan berat kasar lima kilogram ditemukan,” katanya.
Menurut Eko, hasil siasatan mendapati kesemua warga Malaysia itu mendakwa mereka diarahkan oleh seorang wanita yang dikenali sebagai “Madam” untuk membawa etomidate dari Malaysia ke Indonesia.
Setibanya di Indonesia, mereka menerima arahan daripada Madam menerusi aplikasi Telegram untuk menuju ke sebuah hotel di Harmoni, Jakarta.
Mereka kemudian diarahkan mengumpulkan semua kasut yang mengandungi etomidate ke dalam sebuah beg pakaian berwarna merah sebelum menyerahkannya kepada seorang lelaki di lobi hotel.
Pasukan penyiasat kemudian menahan lelaki berkenaan. Hasil pemeriksaan terhadapnya menemukan kunci sebuah unit di Apartmen Mediterania Marina Residence, sebelum pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut di lokasi berkenaan.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa menemukan sebuah unit apartmen yang disyaki dijadikan makmal rahsia bagi menghasilkan etomidate.
Antara barangan yang ditemukan ialah 16 tong berkapasiti lima liter mengandungi cecair perisa berwarna putih yang dibalut dengan kerajang aluminium.
Pihak berkuasa turut menemukan kira-kira 21,000 pod vape kosong, 15,000 penutup silikon pod vape, 800 pipet plastik serta 4,200 kotak pod berwarna emas berlabel “Cantaloupe”.
Selain itu, sebanyak 200 kotak pod berwarna kelabu berlabel “Grape”, 240 kotak berwarna merah jambu berlabel “Lychee”, 45 kotak berwarna kuning berlabel “Mango” dan 30 kotak berwarna kuning muda berlabel “Pineapple” turut dirampas.
Berdasarkan keterangan lelaki itu, dia berada di Indonesia sejak 19 September 2026 dan tinggal di unit apartmen berkenaan.
Suspek mendakwa menerima arahan menerusi kumpulan komunikasi dalam aplikasi Signal untuk merekodkan stok barangan.
Pada 25 September 2026, suspek mendakwa menerima arahan untuk mengambil beg pakaian yang mengandungi etomidate di sebuah hotel di kawasan Harmoni.
Pada Ahad (27 September), penyiasat Subdirektorat III menjalankan ujian makmal terhadap bahan bukti berkenaan di Makmal Forensik Bareskrim Polri.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahan berkenaan positif etomidate,” kata Eko.
