Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Ikon muzik negara Datuk M. Nasir bersama syarikat miliknya Luncai Emas Sdn Bhd memfailkan saman terhadap MyTeksi Sdn Bhd atas dakwaan menggunakan nama dan jenama beliau tanpa kebenaran bagi tujuan promosi komersial di platform syarikat berkenaan.
Saman itu difailkan M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Mohamed, 69, bersama Luncai Emas menerusi Tetuan Zulpadli & Edham di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 April lepas dengan menamakan MyTeksi selaku defendan.
Pengurusan kes ditetapkan pada 29 Jun ini secara e-Review di hadapan Timbalan Pendaftar S. Malarselvi.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan diperoleh media hari ini, plaintif mendakwa defendan menggunakan nama dan jenama “M. Nasir” dalam promosi minuman kopi yang dipasarkan sebagai "Kegemaran M. Nasir" menerusi akaun Instagram rasmi defendan tanpa kebenaran.
Menurut plaintif, pada 23 April 2025, defendan memuat naik iklan melalui akaun Instagram @grabmy dan @grabfoodmy yang memaparkan secawan dan setin kopi berlabel “GrabFood” dan “GrabMart” bagi mempromosikan produk atau perkhidmatan ditawarkan melalui platform syarikat itu.
-- LAGI
MAHKAMAH-M.NASIR 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Di samping iklan itu, kapsyen digunakan adalah “Kopi-kopi kegemaran M Nasir” diikuti dengan frasa “Dua-dua pun Grab ada” yang secara langsung merujuk kepada M. Nasir serta memberi gambaran bahawa produk atau perkhidmatan tersebut mempunyai kaitan dengan beliau," menurut pernyataan tuntutan itu.
Plaintif mendakwa penggunaan nama dan jenama “M. Nasir” tanpa kebenaran menimbulkan salah faham serta kekeliruan dalam kalangan orang awam, sekali gus menjejaskan nama baik dan reputasi penyanyi berkenaan.
Plaintif juga mendakwa iklan itu tidak disertakan sebarang penafian atau penjelasan bahawa rujukan “M. Nasir” bukan merujuk kepada artis berkenaan atau bahawa beliau tidak mempunyai sebarang penglibatan dengan defendan mahupun produk dan perkhidmatan yang dipromosikan.
Menurut plaintif penggunaan nama beliau dalam konteks komersial jelas bertujuan meraih manfaat daripada reputasi dan nilai komersial beliau bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan defendan tanpa keperluan atau pengetahuan plaintif.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan RM3 juta, ganti rugi teruk RM2 juta, faedah serta kos.
Plaintif turut dipohon perintah injunksi bagi menghalang defendan, ejen dan pekerjanya daripada terus menggunakan nama dan jenama "M. Nasir" bagi tujuan komersial, selain memohon perintah supaya defendan mengemukakan penyata keuntungan diperoleh hasil penjualan minuman diiklankan menggunakan nama "Kegemaran M. Nasir".