Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mahkamah Persekutuan Putuskan Tiada Kekhilafan Dalam Perintah Pembebasan Syed Saddiq

Syed Saddiq
Gambar: BERNAMA

Mahkamah Persekutuan Putuskan Tiada Kekhilafan Dalam Perintah Pembebasan Syed Saddiq

PUTRAJAYA, 13 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini, melalui keputusan majoriti 2-1, memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf ketika membebaskan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat Mahkamah Rayuan adalah tepat dalam memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan elemen penting kesalahan melampaui keraguan yang munasabah.

Justeru, kedua-dua hakim berpandangan bahawa Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kekhilafan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Persekutuan.

Menyentuh mengenai pertuduhan bersubahat, Che Mohd Ruzima berkata Syed Saddiq tidak boleh dianggap sebagai bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang tidak pernah didakwa.

Beliau berkata pendakwaan berhujah bahawa Rafiq Hakim telah melakukan pecah amanah jenayah selepas menerima arahan daripada Syed Saddiq untuk memindahkan wang terbabit.

"Meskipun tanpa bukti kukuh, tindakan melabelkan Rafiq Hakim (saksi pendakwaan ke-13 - SP13) sebagai individu yang telah melakukan kesalahan hanya berdasarkan pengakuannya bukanlah suatu pembuktian yang diterima dalam prinsip perundangan," katanya.

Che Mohd Ruzima juga memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang sebanyak RM120,000, yang didakwa telah disalah guna oleh Syed Saddiq, adalah milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).

"Sebaliknya, berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah, wang itu diperoleh daripada dua acara kutipan dana di Muar, Johor dan Hotel DePalma, Ampang khusus bagi pembiayaan kempen politik beliau.

"Berdasarkan keterangan, wang itu bukan milik ABBE, SP13 atau mana-mana pihak… wang itu pada asalnya milik para penyumbang yang telah diserahkan kepada Syed Saddiq untuk membiayai kempennya di Muar sekali gus menjadikan beliau sebagai pemilik benefisial wang berkenaan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan dapatan bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan kes menyalah guna RM120,000 di bawah Seksyen 403 terhadap Syed Saddiq, pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama tidak dapat dipertahan.

Che Mohd Ruzima juga berkata beliau tidak bersetuju dengan hujah bahawa Mahkamah Rayuan telah membuat “tuduhan melulu” terhadap pendakwaan atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya berpandangan bahwa Mahkamah Rayuan telah merujuk, menganalisis dan meneliti semua keterangan material yang relevan berkaitan isu berkenaan sebelum membuat dapatan fakta mungkin terdapat kebenaran dalam hujah pembelaan berhubung keterangan SP13 terhadap Syed Saddiq.

"Berdasarkan keterangan pada peringkat kes pendakwaan, adalah tidak salah bagi Mahkamah Rayuan untuk bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa keterangan SP13 mungkin disesuaikan bagi memuaskan hati SPRM… justeru, dakwaan bahawa Mahkamah Persekutuan telah membuat ‘tuduhan melulu’ adalah tidak berasas dan tidak sepatutnya dibangkitkan," katanya.

Sementara itu, Sequerah berkata asas utama rayuan pendakwaan ialah Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila merumuskan bahawa wang berjumlah RM120,000 itu milik responden dan telah digunakan bagi tujuan kempen pilihan raya beliau, yang kemudian dianggap sebagai bayaran balik bagi perbelanjaan sebanyak RM170,000 sepanjang kempen tersebut.

Beliau berkata antara dapatan utama Mahkamah Rayuan berhubung perkara itu ialah SP13, ketika pemeriksaan semula, mengesahkan bahawa akaun ABBE telah dikosongkan terlebih dahulu bagi tujuan kutipan dana responden.

Sequerah berkata wang berjumlah RM120,000 itu telah dibuktikan diperoleh daripada acara kutipan dana sebelum dipindahkan daripada akaun ABBE kepada akaun Maybank milik responden melalui empat transaksi masing-masing sebanyak RM30,000 atas arahan Syed Saddiq.

"Mahkamah Rayuan kemudian menganalisis actus reus seksyen itu yang mensyaratkan harta yang menjadi subjek kepada kesalahan mestilah milik individu selain responden.

“Setelah berbuat demikian, Mahkamah Rayuan kemudian menilai keterangan yang dikemukakan bagi menentukan perkara ini," katanya.

Beliau juga berkata Mahkamah Rayuan mendapati tiada bukti yang menunjukkan wang RM120,000 itu adalah milik ABBE atau Armada, dan SP13 tidak pernah memberi keterangan bahawa ia adalah milik ABBE.

Justeru, Sequerah berkata Mahkamah Rayuan adalah betul apabila memutuskan bahawa pengeluaran RM1 juta daripada akaun Armada oleh SP13 tidak boleh dikatakan telah digunakan atau dilupuskan dengan melanggar mana-mana arahan undang-undang.

"Pertuduhan utama pecah amanah jenayah tidak boleh dipertahankan kerana wang RM1 juta yang dikeluarkan oleh SP13 tidak pernah diseleweng sebaliknya digunakan secara sah untuk program-program Armada," katanya.

Sementara itu, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, dalam penghakiman bertentangan, membenarkan sebahagian daripada rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq.

Beliau mengekalkan pembebasan ahli politik itu bagi pertuduhan pertama (bersubahat) namun mensabitkan beliau atas pertuduhan kedua (pecah amanah jenayah) serta pertuduhan ketiga dan keempat (pengubahan wang haram).

Dalam penghakiman ringkas setebal enam halaman, Abu Bakar berkata elemen penyalahgunaan secara tidak jujur telah dibuktikan kerana para penyumbang tidak pernah dimaklumkan oleh responden bahawa beliau akan mengambil wang itu dan dimasukkan ke akaun peribadi sebagai bayaran balik bagi perbelanjaan kempen yang didakwanya.

"Tiada keterangan yang menunjukkan bahawa aktiviti kutipan dana itu diadakan bagi membayar balik sebarang perbelanjaan yang telah ditanggung oleh responden bagi tujuan kempen pilihan raya sebelum ia dilaksanakan.

"Selain itu, tiada seorang pun penyumbang yang dimaklumkan bahawa responden akan menggunakan sebarang sumbangan untuk membayar balik perbelanjaan yang didakwa telah ditanggung olehnya sebelum mereka membuat sumbangan, iaitu sebelum bermulanya kempen pilihan raya," katanya.

Abu Bakar berkata Mahkamah Rayuan telah membebaskan Syed Saddiq atas alasan bahawa wang RM120,000 yang dipindahkan ke akaun Maybank beliau oleh Rafiq Hakim atas arahan ahli politik itu adalah miliknya sendiri.

"Adakah Mahkamah Rayuan betul dalam menyatakan bahawa wang ini adalah milik responden? Ini penting kerana jika terbukti sebaliknya, maka keseluruhan asas keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan responden tidak boleh dipertahankan, sekurang-kurangnya bagi pertuduhan ini.

"Saya dengan hormatnya mempunyai pendapat berbeza dan menyatakan bahawa wang itu bukan milik responden. Wang itu diperoleh daripada para penyumbang melalui aktiviti kutipan dana.

“Wang itu adalah wang para penyumbang dan bukan milik responden. Ia bertujuan untuk kempen pilihan raya responden, dan bukannya untuk digunakan sesuka hati oleh beliau," katanya.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Bakar berkata Syed Saddiq tidak pernah menafikan bahawa wang sebanyak RM50,000 telah dimasukkan ke akaun ASB beliau daripada akaun Maybank miliknya.

"Wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram kerana diperoleh daripada para penyumbang bagi kempen pilihan raya beliau, namun tujuan bagi kempen itu tidak tercapai seperti dijelaskan sebelum ini. Oleh itu, wang berkenaan dianggap berasal dari aktiviti haram," katanya.

Beliau kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan ke atas Syed Saddiq bagi pertuduhan menyalahgunakan wang RM120,000 selain penjara enam pula dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram, dengan tambahan hukuman penjara dua tahun jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Abu Bakar berkata sabitan beliau bagi pertuduhan lain yang dihadapi Syed Saddiq tidak lagi tidak relevan susulan pandangan berbeza dua rakannya, yang berhak mempunyai pendapat masing-masing sekali gus mendapat tepukan gemuruh daripada khalayak di galeri awam.

Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan dan denda RM10 juta, yang dijatuhkan ke atas beliau oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.

Sumber:BERNAMA