Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mahkamah Tangguh Keputusan Rayuan Majlis Peguam Berhubung Pengampunan Najib

Pengampunan Najib
Kredit: Bernama

Mahkamah Tangguh Keputusan Rayuan Majlis Peguam Berhubung Pengampunan Najib

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan Majlis Peguam terhadap Mahkamah Tinggi yang memutuskan menolak permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Lim Chong Fong menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan daripada peguam Datuk Yeo Yang Poh dan Zainur Zakaria bagi pihak Majlis Peguam, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili Peguam Negara, serta peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

"Kami memerlukan masa untuk meneliti perkara ini dan kami menetapkan 7 Ogos untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh penyampaian keputusan," kata Hakim Lim yang bersidang bersama Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Hakim Datuk Leonard David Shim.

Pada November 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan.

Terdahulu, Yeo berhujah bahawa keputusan Lembaga Pengampunan boleh dicabar di mahkamah.

"Permohonan semakan kehakiman ini bukan untuk menyemak kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan. Adalah penting kebenaran diberikan pada peringkat ini. Kami memohon rayuan ini dibenarkan dan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif," katanya sambil menambah bahawa perkara yang dibawa oleh perayu bukanlah remeh.

Sementara itu, Ahmad Hanir berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang tepat apabila mendapati permohonan berkenaan tidak boleh diadili dan bersifat dangkal.

Beliau berkata kuasa prerogatif pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

"Oleh itu, pihak Peguam Negara berhujah bahawa jika keputusan memberikan pengampunan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman, maka proses yang membawa kepada keputusan itu juga tidak tertakluk kepada semakan kehakiman," katanya.

Muhammad Shafee menerima pakai hujah Ahmad Hanir.

-- LAGI

MAHKAMAH-MAJLIS PEGUAM 3 (AKHIR) PUTRAJAYA

Pada 26 April lepas, Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.

Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan lepas berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya, yang menyaksikan beliau dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.

Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.

Pengurangan itu disertakan syarat bahawa kegagalan membayarnya akan melanjutkan tempoh penjara beliau selama setahun, yang menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029.

Najib, 73, telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Beliau telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.