Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Malaysia Antara Destinasi Pilihan Dunia, Seiring Tahun Melawat Malaysia 2026
Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara destinasi pelancongan pilihan dunia apabila mencatat peningkatan ketara tempahan perjalanan antarabangsa pada suku pertama 2026, selari dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menurut Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong, berdasarkan data tempahan dari 1 Januari hingga 31 Mac 2026, Malaysia tersenarai dalam lima destinasi luar negara utama bagi pelancong dari Asia Tenggara dan China.
Negara ini juga berada dalam 10 destinasi paling popular bagi pelancong dari Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.
Di peringkat global, Kuala Lumpur mencatat pencapaian membanggakan apabila berada di kedudukan kelapan bandar paling popular dunia yang bakal dikunjungi, sebaris dengan destinasi antarabangsa utama seperti Tokyo, Seoul dan Bangkok.

“Momentum Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar Asia terus menggalakkan berikutan kepelbagaian tarikan bandar, alam semula jadi serta destinasi mesra keluarga yang berteraskan warisan dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Prestasi positif itu turut mencerminkan hala tuju kerajaan dalam memperkukuh sektor pelancongan negara, khususnya dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa secara berterusan.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Malaysia menunjukkan pemulihan pelancongan global yang memberangsangkan, dengan jumlah ketibaan pelancong mencatat peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, perkembangan tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah terus menarik minat pelancong dari pelbagai pasaran utama dunia.
“Pasaran pelancongan seperti negara Timur Tengah, China, ASEAN dan beberapa pasaran lain menunjukkan pertumbuhan yang ketara. Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan momentum ini melalui strategi pemasaran global yang lebih bersepadu serta promosi intensif menjelang 2026,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kempen VM2026 menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong, dengan jangkaan penerimaan pelancongan bernilai berbilion ringgit menjelang tahun tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, data Trip.com menunjukkan rakyat Malaysia kekal cenderung memilih perjalanan jarak dekat dan sederhana. Ini khususnya penerbangan kurang 2,000 kilometer serta antara 2,000 hingga 5,000 kilometer sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Antara destinasi domestik paling popular ialah Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kuching dan Johor Bahru. Manakala, destinasi luar negara pilihan rakyat Malaysia termasuk China, Singapura, Jepun, Thailand dan Indonesia.
Dari sudut demografi, golongan milenial kekal sebagai kumpulan pelancong terbesar dengan menyumbang 51 peratus daripada jumlah tempahan, diikuti Gen X (24 peratus) dan Gen Z (21 peratus).
Selain itu, tarikan taman tema terus mencatat permintaan tinggi, khususnya bagi aktiviti mesra keluarga, selari dengan usaha mempelbagaikan produk pelancongan negara.
Berdasarkan data tempahan bagi 2026, Genting SkyWorlds, Sunway Lagoon dan Skytropolis dikenal pasti sebagai antara taman tema paling popular dalam kalangan pelancong domestik.