Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia, AS Berhasrat Jalin Kerjasama Sokong Pembangunan Awan AI Berdaulat Malaysia

berhasrat
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Nov ( Bernama ) -- Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berhasrat memperkukuh kerjasama dalam membangunkan Awan Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Malaysia, dengan Washington menyediakan dana berjumlah USD50 juta melalui program SI SPARK bagi menyokong inisiatif itu, tertakluk kepada persetujuan antara kedua-dua kerajaan berhubung terma serta skop bantuan berkenaan.

Iklan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Donald Trump semalam mengumumkan hasrat kedua-dua negara untuk menjalin kerjasama bagi menyokong inisiatif Malaysia itu, termasuk melalui penyertaan syarikat teknologi AS.

Menurut MCMC, Malaysia akan menentukan reka bentuk, kaedah perolehan dan pengaturan operasi bagi kemudahan Awan AI Berdaulat itu.

“Infrastruktur dan data yang dihoskan akan ditempatkan di Malaysia, tertakluk kepada undang-undang negara serta kekal dalam pemilikan, jagaan dan kawalan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bidang kerjasama yang berpotensi adalah termasuk bantuan teknikal dan latihan bagi membangunkan tenaga kerja AI tempatan serta memperkukuh keupayaan Malaysia untuk mengendalikan infrastruktur digital yang selamat dan berdaya tahan.

Menurut MCMC, penyertaan syarikat teknologi AS adalah tertakluk kepada undang-undang dan proses perolehan Malaysia, keperluan teknikal dan keselamatan serta pemeteraian perjanjian berkaitan.

Menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif, Malaysia dan AS berhasrat untuk mempererat kerjasama dalam bidang AI dan teknologi digital yang selamat, dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan dan autonomi kawal selia setiap negara.

-- BERNAMA

Intipati
  • Malaysia dan AS berhasrat bekerjasama membangunkan Awan AI Berdaulat Malaysia.
  • Washington menyediakan dana USD50 juta melalui SI SPARK, tertakluk persetujuan dua kerajaan.
  • Malaysia akan menentukan reka bentuk, perolehan dan operasi kemudahan awan berkenaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan