Kerajaan memutuskan untuk menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir besar yang melanda negara berkenaan pada Rabu lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyelaras gerakan berkenaan bersama Kementerian Luar dengan pihak berkuasa Nepal supaya pasukan SMART dapat dihantar secepat mungkin.
Menurut Anwar, selain membantu usaha SAR, pasukan berkenaan turut diberi tanggungjawab untuk mengesan serta membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu.

“Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan serta membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal untuk menyelaras bantuan dan memastikan keselamatan serta kebajikan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia akan menyumbang AS$1 juta (kira-kira RM4.03 juta) kepada Nepal bagi membantu mangsa bencana serta menyokong proses pemulihan selepas kejadian.
Sementara itu, Kementerian Luar semalam memaklumkan seramai 72 rakyat Malaysia yang terkandas di Tibet, China, disahkan selamat dan berada dalam keadaan sihat susulan gangguan perjalanan akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal.
Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing kini berhubung dengan rakyat Malaysia berkenaan yang berada di Darchen, manakala ahli keluarga mereka turut dimaklumkan mengenai keadaan semasa.
Pada masa sama, seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal masih belum dapat dihubungi, manakala dua individu yang sebelum ini gagal dikesan telah berjaya dihubungi.
Kementerian Luar berkata, usaha mendapatkan pengesahan mengenai keberadaan 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi sedang diteruskan.
Sebelum ini, Kerajaan Nepal dilaporkan mengeluarkan senarai 537 warga asing dari lebih 30 negara yang masih hilang susulan kejadian banjir kilat besar di daerah Rasuwa.
Daripada jumlah itu, 51 rakyat Malaysia yang berada di bawah pengurusan agensi pelancongan Leaf Holiday, Fishtail, Dream Tibet Travel and Tour serta Kailash Journeys disenaraikan sebagai individu yang masih belum dapat dikesan.
Banjir kilat besar yang melanda kawasan sempadan utara Nepal itu dilaporkan memusnahkan penempatan di sepanjang Sungai Bhotekoshi di Rasuwa, selain membawa arus deras dan serpihan ke kawasan hilir.
Menurut laporan The Kathmandu Post, bencana itu turut merosakkan jalan raya, jambatan, bangunan serta beberapa kemudahan awam sebelum aliran air memasuki sistem Sungai Trishuli.
Keadaan berkenaan menyebabkan penduduk, kenderaan dan struktur bangunan dihanyutkan, selain memutuskan hubungan di beberapa kawasan yang terjejas.
Laporan sama turut menyebut penemuan mayat serta rangka manusia di beberapa daerah jauh di hilir Rasuwa, dengan pihak berkuasa berdepan cabaran mengenal pasti mangsa dan kekurangan kapasiti penyimpanan mayat berikutan jumlah mangsa yang semakin meningkat.

