Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia Berdepan Cuaca Ekstrem, Dari Hujan Lebat Luar Biasa Ke Musim Kering
Malaysia kini berdepan dengan fenomena perubahan cuaca ekstrem (weather whiplash), dengan episod hujan lebat luar biasa kepada jangkaan cuaca yang lebih kering pada tahun ini.
Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keadaan itu didorong oleh ENSO-neutral yang membawa risiko persekitaran baharu.
Menurutnya, di sebalik hujan lebat, peningkatan suhu bumi sebanyak 1 darjah Celcius membolehkan udara menampung 4 peratus lebih banyak wap air.
"Kesannya, kita merekodkan jumlah hujan menyamai taburan sebulan hanya dalam tempoh sehari (383mm dalam 24 jam berbanding purata bulanan ~200mm)
"Walaupun kitaran monsun kekal konsisten, ribut petir semasa peralihan monsun kini menjadi lebih ekstrem dan ganas," katanya.
NAHRIM berkata negara juga dijangka beralih ke fasa ENSO-Neutral menjelang bulan April. Corak cuaca neural ini dijangka berterusan sehingga Ogos.
Bagi Unjuran Jangka Panjang 2026, Malaysia dijangka mengalami taburan hujan di bawah paras normal.
Ujarnya, Sarawak, Johor dan Selangor diramal akan mengalami penurunan kadar hujan yang sangat ketara bermula pertengahan 2026.
"Keadaan atmosfera yang lebih kering ini akan meningkatkan risiko kejadian jerebu, serta kebakaran hutan dan tanah gambut," kata NAHRIM.
Ekoran itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan amaran cuaca semasa dan rancang aktiviti dengan bijak.
"Bersama kita bersedia menghadapi perubahan iklim," katanya lagi.