Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Perkukuh Komitmen ASEAN-China Ke Arah Bandar Mampan, Perumahan Berkualiti & Komuniti Bersatu Padu Menerusi ACMROCH 2026

Malaysia Perkukuh Komitmen ASEAN-China

Malaysia Perkukuh Komitmen ASEAN-China Ke Arah Bandar Mampan, Perumahan Berkualiti & Komuniti Bersatu Padu Menerusi ACMROCH 2026

IPOH, 1 OGOS 2026 - Persidangan Meja Bulat Peringkat Menteri ASEAN-China berkaitan Pembinaan dan Perumahan atau ASEAN-China Ministerial Roundtable on Construction and Housing (ACMROCH) 2026 telah dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming hari ini di AC Hotel by Marriott, Ipoh, Perak.

Persidangan bertemakan 'Bandar Mampan, Perumahan Berkualiti, Komuniti Bersatu Padu' yang berlangsung selama tiga (3) hari itu menghimpunkan 300 delegasi dari negara-negara Anggota ASEAN termasuk Malaysia dan Republik Rakyat China yang terdiri daripada menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor perumahan dan pembangunan bandar yang lebih mampan, inklusif serta berdaya tahan.

Malaysia menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempengerusikan ACMROCH 2026 sebagai manifestasi komitmen negara dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi menangani cabaran pembandaran pesat, perubahan iklim, peningkatan kos sara hidup, keterjaminan tenaga, keterjangkauan perumahan serta aspirasi masyarakat terhadap bandar yang lebih inklusif, selamat dan berkualiti untuk didiami.

Selaku tuan rumah, Malaysia menegaskan bahawa ACMROCH 2026 menjadi pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif bersama yang mampu diterjemahkan kepada tindakan nyata demi kesejahteraan rakyat. Persidangan ini memberi penekanan kepada tiga dimensi utama kerjasama ASEAN-China iaitu memperkukuh kerjasama antara kerajaan melalui perkongsian dasar dan amalan terbaik, mengukuhkan kerjasama industri menerusi inovasi dan teknologi, serta memperluas kerjasama antara bandar melalui pertukaran pengalaman dan penyelesaian pembangunan bandar yang mampan.

Sesi meja bulat negara-negara ASEAN dan China akan memberi tumpuan kepada empat bidang fokus iaitu:

i. Pembangunan perumahan cekap tenaga serta mesra iklim sebagai langkah menangani cabaran perubahan iklim dan mengurangkan kos isi rumah dalam jangka panjang;

ii. Pembangunan perumahan berteraskan nilai dan pertumbuhan bandar yang inklusif serta peningkatan permintaan terhadap perumahan;

iii. Usaha memperkukuh perkhidmatan bandar yang berdaya tahan serta pembangunan infrastruktur mampan; dan

iv. Pembinaan komuniti yang bersatu padu dan kejiranan yang berkualiti sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat.

Secara keseluruhannya, perbincangan ini membuktikan bahawa sektor perumahan, pembinaan dan pembangunan bandar bukan lagi boleh dilihat sebagai isu teknikal semata-mata, sebaliknya merupakan asas kepada kestabilan sosial, pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan daya tahan rantau ini.

Menurut YB Tuan Nga Kor Ming, “ACMROCH 2026 bukan sekadar platform untuk bertukar pandangan, malah menjadi medan strategik bagi Malaysia, ASEAN dan China merangka penyelesaian bersama terhadap cabaran pembangunan bandar. Melalui kerjasama yang lebih erat, kita mampu mempercepat pembangunan bandar mampan, memperluas akses kepada perumahan berkualiti serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh rantau.”

“Penganjuran ACMROCH 2026 di Ipoh membawa mesej yang jelas bahawa manfaat kerjasama serantau tidak seharusnya hanya tertumpu di bandar-bandar raya atau ibu negara. Sebaliknya, manfaat tersebut perlu turut dirasai oleh bandar-bandar sekunder dan seluruh rakyat yang menjadi teras kepada segala usaha pembangunan kita,” tambah beliau.

Malaysia mengalu-alukan penyertaan konstruktif daripada semua Negara Anggota ASEAN dan Republik Rakyat China serta yakin ACMROCH 2026 akan menghasilkan keputusan substantif, termasuk kemajuan ke arah Ipoh Accord sebagai hasil strategik utama (flagship deliverable) persidangan. Dokumen ini dijangka menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang dalam pembangunan bandar mampan, penyediaan perumahan berkualiti dan pembentukan komuniti yang inklusif serta berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat di seluruh rantau.