Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus kadar sara diri (SSR) pengeluaran jagung bijian tempatan sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap import dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu penting susulan Malaysia masih bergantung kepada import jagung bijian dalam jumlah besar bagi memenuhi keperluan negara.
Katanya, Malaysia mengimport purata 2.5 juta tan metrik jagung bijian setahun bernilai lebih RM3 bilion bagi tempoh 2010 hingga 2024.
“Dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada import.
“Sebab itu kita menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus pengeluaran tempatan sebagai benteng sekiranya berlaku gangguan bekalan dari luar negara,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook malam tadi.
Menurut Mohamad, usaha memperkukuh industri jagung bijian tempatan turut diteruskan menerusi pembangunan varieti jagung bijian tempatan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Jelasnya, kerajaan turut menyasarkan pengurangan kebergantungan kepada benih import sebanyak 30 peratus menjelang 2040.
Beliau berkata, langkah berkenaan selari dengan usaha memperkasa industri jagung bijian secara berskala besar, moden, berdaya saing dan dipacu pasaran.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pelancaran varieti jagung bijian tempatan dan penanaman jagung bijian berskala besar di Sepang merupakan antara usaha menterjemahkan komitmen kerajaan dan industri kepada tindakan di lapangan.
Katanya, komitmen itu susulan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Genting Plantations Berhad yang ditandatangani ketika MAHA 2024, dua tahun lalu.
“Setakat ini, 49.13 hektar telah dibangunkan dan 15.51 hektar sudah ditanam, dengan sasaran mencapai 100 hektar menjelang 2027,” ujarnya.
Tambahnya, pembangunan industri berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk industri, agensi kerajaan, penyelidik dan pelabur bagi memastikan pengeluaran jagung bijian tempatan dapat dilaksanakan pada skala lebih besar.
“Apa yang kita tanam hari ini adalah untuk memperkukuh bekalan makanan Malaysia pada masa depan. Insya-Allah, kita bina keterjaminan makanan negara bersama-sama,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan