Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

MALAYSIA SME MEDIA GROUP telah mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan ASEAN Records bagi pencapaian "Sesi Kongres Perniagaan Pertama dan Berketinggian Tertinggi yang Disampaikan oleh Panel Penceramah di Puncak Gunung, dengan empat orang penceramah menyampaikan sesi di kaki Low's Peak, Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095 meter dari aras laut", sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam landskap keusahawanan dan kepimpinan perniagaan berasaskan pengalaman di rantau ASEAN.
Pengiktirafan tersebut telah disampaikan dalam Majlis Penyampaian ASEAN Records yang diadakan sempena MALAYSIA SME Sportrepreneur Congress 2026, selepas kejayaan menganjurkan sebuah kongres perniagaan di puncak Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara pada 17 Jun 2026.
Pencapaian ini merupakan kemuncak kepada persiapan selama sepuluh bulan yang mengubah konsep konvensional persidangan perniagaan daripada dewan hotel dan pusat konvensyen kepada salah satu mercu tanda semula jadi paling ikonik di ASEAN.
Program ini menghimpunkan usahawan, pemimpin korporat dan profesional dalam satu platform unik yang menggabungkan kepimpinan, ketahanan fizikal serta daya tahan keusahawanan, membuktikan bahawa kecemerlangan perniagaan dan kesejahteraan diri boleh bergerak seiring.

Anugerah ASEAN Records tersebut telah disampaikan oleh Eldrick Koh, Ketua Juri ASEAN Records, kepada Wayne Lim, Pengerusi Penganjur MALAYSIA SME Sportrepreneur Congress 2026 serta Presiden dan Ketua Editor MALAYSIA SME MEDIA GROUP.
Mewakili jawatankuasa penganjur dan seluruh ahli ekspedisi, Wayne menerima pengiktirafan tersebut dan mendedikasikan pencapaian bersejarah itu kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen penuh sepanjang tempoh persiapan selama sepuluh bulan.
"Pencapaian ini bukan milik seorang individu. Ia adalah hasil komitmen setiap ahli ekspedisi yang mempercayai visi ini, berlatih selama sepuluh bulan dan membuktikan bahawa usahawan mampu melangkaui batasan diri. Bersama-sama, kita telah mencipta sejarah."
Menurut Wayne, idea penganjuran kongres ini tercetus hasil pemerhatiannya selama lebih dua dekad bersama komuniti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). "Saya melihat ramai usahawan yang begitu komited membangunkan perniagaan sehingga mengabaikan kesihatan sendiri. Melalui gerakan Sportrepreneur, kami ingin mengingatkan bahawa kejayaan bukan sekadar membina perniagaan, tetapi juga menjaga kesihatan. Wang tidak mampu membeli kesihatan."

Dianjurkan bersempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Sabah, inisiatif ini turut mempromosikan Sabah sebagai destinasi bertaraf dunia bagi acara perniagaan, pelancongan pengembaraan serta kerjasama antarabangsa, di samping menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan usahawan melalui aktiviti sukan dan cabaran luar.
Kongres ini turut menampilkan sesi perkongsian inspirasi daripada tokoh-tokoh korporat yang berkongsi persamaan antara mendaki gunung dan membina perniagaan yang berjaya. Barisan penceramah terdiri daripada Raj Gurung, Managing Partner Superclub International Ltd Hong Kong; Datuk Roger Wong, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan KGW Group Berhad; Gwei Tze Co, Ketua Pegawai Eksekutif Astra Baby Sdn Bhd; serta Virata Gamany, Pengarah Eksekutif CSI Prop.
Setiap mereka berkongsi pengalaman mengenai kepimpinan, daya tahan, kerja berpasukan dan ketabahan, sekali gus membuktikan bahawa kejayaan besar tidak pernah dicapai secara bersendirian.
Sebagai legasi kepada pencapaian bersejarah ini, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran rasmi buku Summit oleh pengarang utama serta ahli ekspedisi, Aileen Anthony yang juga pengasas Write Right Communications. Diterbitkan dalam versi e-buku dan edisi kulit keras, penerbitan istimewa ini merakam pengalaman ekspedisi melalui kisah peribadi para peserta, sekali gus mendokumentasikan pengajaran, cabaran dan detik-detik penting di sebalik kejayaan menganjurkan Kongres Perniagaan Pertama dan Tertinggi di Puncak Gunung di ASEAN.

Sebagai penulis utama dan kurator buku tersebut, Aileen bekerjasama rapat dengan para peserta sepanjang tempoh sepuluh bulan bagi merakam bukan sahaja perjalanan mendaki Gunung Kinabalu, malah perubahan pemikiran, ketabahan dan transformasi yang dialami setiap peserta. Summit mengisahkan keseluruhan perjalanan mereka, bermula daripada keputusan untuk menyahut cabaran, persediaan mendaki, sehinggalah kepada kesedaran bahawa makna sebenar mencapai puncak adalah membawa pulang pengalaman dan berkongsi manfaatnya dengan orang lain.

Pengiktirafan ASEAN Records ini bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran kongres perniagaan berasaskan pengalaman di rantau ini, malah mencerminkan komitmen MALAYSIA SME MEDIA GROUP dalam memperkenalkan platform inovatif yang memperkukuhkan keusahawanan melalui kepimpinan, daya tahan, kerjasama dan kesejahteraan.
Berteraskan kejayaan ini, MALAYSIA SME MEDIA GROUP akan terus memperluaskan gerakan Sportrepreneur menerusi pelbagai inisiatif yang menggalakkan usahawan mencapai kecemerlangan dalam perniagaan tanpa mengabaikan kesihatan dan kesejahteraan diri, di samping mengangkat Malaysia sebagai hab serantau bagi pengalaman keusahawanan yang inovatif.
Ekspedisi MALAYSIA SME Sportrepreneur Congress 2026 menghimpunkan seramai 19 peserta, terdiri daripada Wayne Lim, Datuk Roger Wong, Datin Ivy Wong, Mohd Fakhrul Munir, Dave Leong, May Jestine Ong, Gwei Tze Co, Mark Goh, Colin Lai Chee Seng, Aileen Anthony, Gwee Chin Li, Samantha Eng, Datuk Ir Ts Mahadi Mohamad, Raj Gurung, Patricia Tan, Lynda Lee, Virata Gamany, Chew Han Tah dan Mark Chew. Perjalanan mereka selama 10 bulan yang merangkumi persiapan, latihan dan ekspedisi boleh ditonton menerusi saluran YouTube MALAYSIA SME Congress.
Kongres ini mendapat sokongan daripada GX Bank, BMS Organics, Oat Story dan Borneo Calling sebagai penaja rasmi. Penganjur utama ialah MALAYSIA SME MEDIA GROUP, dengan kerjasama Entrepreneur Speaker Bureau, Write Right Communications, AI Dave dan Summit Attack sebagai penganjur bersama.