TEMERLOH, 23 Dis (Bernama) — Seorang lelaki yang dikhuatri lemas selepas didakwa hilang semasa mandi di sungai berhampiran jambatan kereta api Kuala Krau, dekat sini, petang semalam masih belum dijumpai.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan mangsa masih diteruskan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan penduduk kampung.
“Ingin saya nasihatkan kepada masyarakat setempat agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga semasa bencana banjir. Jangan lakukan aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Selain itu, katanya dua beranak yang dilapor hilang semasa meredah banjir di padang bola berhampiran bangunan UMNO di Mentakab, ditemukan maut hari ini. Mayat si bapa berusia 53 tahun ditemukan pada jam 10 pagi manakala mayat anaknya, 10 tahun, dijumpai pada 11.50 pagi.
Mengenai keadaan banjir di daerah ini, Mohd Azhar berkata paras air menunjukkan trend penurunan, manakala semua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan hasil bantuan penduduk dan maklumat orang ramai yang tular dalam media sosial.
“Pihak polis bersama JBPM dan APM juga telah bersedia jika berlaku gelombang kedua. Kita sudah meminta bantuan daripada Pasukan Gerakan Am, Marin dan SMART bagi penambahan anggota dan aset,” katanya.
Beliau turut menasihatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah itu untuk mendapatkan kebenaran daripada pusat kawalan operasi bencana daerah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab Hairysam Mat Tahar memberitahu Bernama bahawa keadaan banjir di Mentakab semakin pulih, namun paras air di sesetengah kawasan perumahan dan kampung masih berada pada tahap bahaya.
“Panggilan kecemasan untuk perpindahan juga sudah tiada, cuma ada beberapa panggilan sahaja yang memerlukan bantuan makanan,” katanya.
Walaupun balai bomba berkenaan turut dinaiki air, katanya pegawai dan anggota masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kenaikan paras air.
Temerloh adalah daerah paling teruk terjejas akibat banjir di Pahang dan setakat 12 tengah hari tadi seramai 11,406 mangsa daripada 3,237 keluarga masih ditempatkan di 80 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.
Sumber: Bernama
