Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Masyarakat Tidak Nilai Berapa Banyak Bintang Di Bahu...”, Pesan Terakhir Ayob Khan Buat Warga PDRM

AYOB
Kredit: Facebook PDRM

“Masyarakat Tidak Nilai Berapa Banyak Bintang Di Bahu...”, Pesan Terakhir Ayob Khan Buat Warga PDRM

"Masyarakat tidak menilai berapa banyak bintang di bahu kita. Mereka menilai sejauh mana kita berlaku adil."

Itu antara pesanan yang dititipkan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena persaraannya selepas menabur bakti selama 35 tahun dalam pasukan keselamatan negara.

Menerusi hantaran di Facebook, PDRM memaklumkan pesanan itu disampaikan Ayob Khan ketika Malam Mes "Dining Out" sempena persaraannya yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, malam tadi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Polis Negara (KPN) merangkap Yang Dipertua Mes PDRM, IG Tan Sri Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, bersama isteri yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datuk Dr. Munirah Che Rose, bagi menzahirkan penghargaan kepada Ayob Khan dan isterinya, Puan Sri Datuk Zalena Mohd Ariffin.

Menurut PDRM, majlis yang dianjurkan Mes Pegawai Kanan PDRM itu membawa tema "Leadership Defined, Legacy Endures", sebagai simbol penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Ayob Khan yang disifatkan sebagai pemimpin berintegriti, berprinsip dan berani dalam mempertahankan keselamatan negara.

Berucap pada majlis itu, Mohd Khalid berkata, Ayob Khan merupakan seorang pemimpin yang sentiasa tegas dalam menegakkan undang-undang serta menjadikan integriti dan profesionalisme sebagai asas kepimpinannya.

Katanya, tema yang dipilih membawa maksud bahawa kepimpinan membentuk jati diri seseorang pemimpin, manakala nilai, prinsip dan sumbangan yang ditinggalkan akan terus hidup sebagai legasi kepada generasi akan datang.

"Nilai kepimpinan yang dipamerkan Tan Sri Ayob Khan sepanjang perkhidmatannya akan terus menjadi inspirasi dan panduan kepada seluruh warga Sang Saka Biru dalam melaksanakan amanah kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan dalam ucapan balasnya turut menitipkan pesanan kepada seluruh warga PDRM agar tidak terlalu mengejar kedudukan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap masyarakat.

"Masyarakat tidak menilai berapa banyak bintang di bahu kita. Mereka menilai sejauh mana kita berlaku adil," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan warga pasukan supaya tidak terlalu sibuk mengejar siapa yang berada di kedudukan tertinggi sehingga terlupa kepada mereka yang sentiasa memerhati dan meletakkan harapan kepada pasukan keselamatan.

Majlis itu turut diserikan dengan tayangan video khas yang mengimbau perjalanan kerjaya Ayob Khan sepanjang lebih tiga dekad bersama PDRM serta penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanannya kepada pasukan.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus, bersama isteri, barisan pengarah dan timbalan pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak, Ketua Polis Negeri serta para pesara PDRM.

Intipati
  • Ayob Khan bersara selepas 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia.
  • Pesanan terakhirnya menekankan keadilan lebih penting daripada pangkat atau kedudukan.
  • Majlis Dining Out di Sunway Resort Hotel menghargai jasa dan sumbangannya kepada PDRM.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan