KLANG, 16 Sept (Bernama) -- Mayat ditemukan di perairan Bagan Sungai Belukang, Perak, dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini dipercayai pemancing yang dilaporkan hilang pada Isnin lepas.
Timbalan Ketua Polis Klang Utara Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata mayat itu ditemukan di kawasan Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk, dalam keadaan terikat pada tong serta memakai jaket keselamatan kira-kira 9.30 pagi tadi.
“Mayat dibawa ke hospital bagi pengecaman untuk mendapatkan kepastian berhubung identiti mangsa,” katanya kepada pemberita di Jeti Sementa, di sini hari ini.
Pada Isnin lepas, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan rasmi berhubung kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank di perairan Selat Melaka pada 3.35 pagi.
Bagaimanapun, empat daripadanya ditemukan selamat di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi SAR, sebelum dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting.
Mereka yang terselamat ialah Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43, serta Mohd Rizal Mohamad Sadali dan Muhd Hamiszar Punirain masing-masing berusia 45 tahun, selain tekong bot Zulfikalnain Awang, 47.
Manakala tiga yang hilang ialah Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd Shahril Abd Rahman, 43, dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.
Berdasarkan penceritaan mangsa yang terselamat, Mohd Rahimi berkata kesemua pemancing itu terpaksa mengikat diri masing-masing pada tong akibat dehidrasi melampau selepas bot yang mereka dinaiki terbalik.
Terdahulu, Mohd Rahimi mengiringi Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan meninjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebelum menziarahi ahli keluarga mangsa di Jeti Sementa, di sini.
Sementara itu, Pegawai Operasi APMM Selangor Leftenan Mohd Syafiq Sazali berkata SAR pada hari ketiga itu lebih menjurus kepada pencarian di kawasan sempadan Selangor dan Perak berdasarkan simulasi sistem SAR yang telah dikemas kini.

