Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mengapa Daun Berubah Warna Ketika Musim Luruh? Ini Penjelasannya

daun
Kredit: woodlandtrust

Musim luruh sering dikaitkan dengan keindahan alam semula jadi apabila dedaunan pada pokok berubah warna menjadi kuning, jingga dan merah sebelum akhirnya gugur.

Iklan

Pemandangan berwarna warni itu menjadi antara tarikan utama musim luruh di negara yang mengalami empat musim. Namun, di sebalik keindahan tersebut, terdapat proses semula jadi yang berlaku dalam pokok sebagai persediaan menghadapi musim sejuk.

Persoalannya, mengapa daun berubah warna ketika musim luruh dan apakah sebab pokok menggugurkan daunnya?

Kredit: woodlandtrust

Mengapa Daun Berubah Warna Ketika Musim Luruh?

Perubahan warna daun berlaku apabila pokok yang menggugurkan daun sebagai tindak balas terhadap perubahan musim mula mengurangkan penghasilan klorofil, iaitu pigmen hijau yang digunakan dalam proses fotosintesis.

Apabila kandungan klorofil semakin berkurangan, pigmen lain yang terdapat dalam daun mula kelihatan dengan lebih jelas. Keadaan inilah yang menyebabkan daun bertukar kepada warna kuning, jingga, merah dan merah jambu.

Secara umumnya, terdapat tiga kumpulan utama pigmen yang memberikan warna kepada daun, iaitu klorofil yang menghasilkan warna hijau, karotena yang menghasilkan warna kuning serta antosianin yang menghasilkan warna merah dan merah jambu.

Kepekatan pigmen ini berbeza mengikut spesies pokok. Sebab itu, terdapat pokok tertentu seperti pokok beech yang terkenal dengan perubahan warna daun lebih terang dan menarik ketika musim luruh berbanding spesies lain.

Mengapa Warna Daun Lebih Menarik Pada Sesetengah Tahun?

Tahap keamatan warna daun ketika musim luruh dipengaruhi oleh gabungan proses kimia dalam tumbuhan dan keadaan cuaca.

Oleh sebab keadaan cuaca berubah dari tahun ke tahun, keindahan serta keamatan warna daun juga boleh berbeza.

Antara faktor yang mempengaruhinya termasuklah:

1. Suhu Malam Yang Sejuk

Suhu yang rendah membantu memecahkan klorofil sehingga warna hijau pada daun semakin pudar dan warna kuning mula kelihatan.

Bagaimanapun, jika suhu kekal melebihi takat beku, penghasilan antosianin boleh meningkat sekali gus menjadikan daun kelihatan lebih merah.

2. Keadaan Cuaca Kering

Ketika cuaca kering, kandungan gula dalam daun menjadi lebih pekat. Keadaan ini merangsang penghasilan lebih banyak antosianin dan menyebabkan warna merah pada daun menjadi lebih menyerlah.

3. Hari Yang Cerah

Walaupun penghasilan klorofil baharu mula terhenti ketika musim luruh, proses fotosintesis masih boleh berlaku pada hari yang cerah dengan menggunakan baki klorofil yang terdapat dalam daun.

Keadaan ini meningkatkan kepekatan gula dalam daun dan merangsang penghasilan lebih banyak antosianin. Hasilnya, daun akan kelihatan lebih merah.

Mengapa Pokok Menggugurkan Daunnya?

Proses pengguguran daun, yang dikenali sebagai absisi, sebenarnya bermula lebih awal daripada musim luruh.

Ia melibatkan pembentukan satu lapisan sel di bahagian pangkal tangkai daun, iaitu tempat tangkai daun bersambung dengan batang pokok. Lapisan yang dikenali sebagai lapisan absisi ini terbentuk pada musim bunga ketika daun mula tumbuh secara aktif.

Apabila musim luruh tiba, perubahan hormon dalam pokok mula berlaku. Antara hormon yang memainkan peranan penting ialah auksin.

Ketika tempoh pertumbuhan aktif, penghasilan auksin dalam daun berlaku pada kadar yang stabil. Keadaan ini membantu memastikan sel dalam lapisan absisi terus bersambung dan daun kekal melekat pada pokok.

Namun, apabila tempoh siang semakin pendek dan suhu mula menurun, penghasilan auksin dalam daun turut berkurangan.

Perubahan tersebut mencetuskan pemanjangan sel dalam lapisan absisi. Keadaan ini menyebabkan terbentuknya rekahan pada lapisan berkenaan, sekali gus membolehkan daun terpisah daripada pokok.

Akhirnya, daun akan gugur sama ada ditiup angin atau akibat beratnya sendiri.

Apakah Manfaat Pokok Menggugurkan Daun?

Pengguguran daun memberikan beberapa manfaat kepada pokok, khususnya ketika menghadapi musim sejuk.

Antara manfaat utamanya ialah membantu pokok mengekalkan kelembapan pada dahan dan batang. Tanpa daun, pokok dapat mengurangkan kehilangan air yang boleh menyebabkan ia menjadi kering dan akhirnya mati.

Pokok yang kehilangan daun juga memasuki keadaan dorman, iaitu tempoh rehat apabila aktiviti pertumbuhannya berkurangan dan keperluan tenaga untuk terus hidup menjadi lebih rendah.

Selain itu, pokok tanpa daun lebih mudah menghadapi ribut musim sejuk kerana angin boleh melalui celah celah dahan dengan lebih mudah.

Justeru, perubahan warna dan pengguguran daun ketika musim luruh bukan sekadar fenomena alam yang mencantikkan pemandangan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses semula jadi pokok untuk menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca dan menghadapi musim sejuk.

Intipati
  • Warna daun berubah apabila klorofil berkurangan dan pigmen lain menjadi lebih jelas.
  • Suhu sejuk, cuaca kering dan hari cerah mempengaruhi keamatan warna daun.
  • Pengguguran daun membantu pokok mengekalkan kelembapan dan mengurangkan keperluan tenaga.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan