Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala selepas tergelincir di tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Jamawi berkata kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA.
Menurutnya, beberapa kenalan menghubunginya selepas melihat gambar beliau dengan kepala berbalut tuala yang dipenuhi darah, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keadaannya.

“Sebenarnya berlaku kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA.
“Permukaan tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai. Terima kasih doktor dan jururawat yang bertugas di Menara Medical Clinics KLIA yang merawat dan menjahit luka tadi,” katanya.
Susulan kejadian itu, Jamawi turut meminta pihak pengurusan Malaysia Airports mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan permukaan lantai tandas tidak terlalu licin.
Beliau juga mencadangkan supaya laluan kecemasan ke klinik berhampiran KLIA disediakan dengan lebih baik, selain latihan kecemasan diberikan kepada kakitangan bertugas.
Menteri Sabah Terjatuh Di Tandas KLIA
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan bantuan dan rawatan awal dapat diberikan dengan segera sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Walaupun mengalami kecederaan dan menerima rawatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu tetap meneruskan perjalanan pada jam 1.05 tengah hari selepas selesai lawatan kerja di Brasilia, Brazil.

