Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Mercy Malaysia akan menghantar Pasukan Penilaian Pantas (Rapid Assessment Team) yang terdiri daripada empat anggota ke Iran bagi menilai situasi semasa melibatkan aspek kemanusiaan dan kesihatan di negara itu.
Misi tersebut merupakan sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan dan tindak balas organisasi berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan di lapangan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
Presiden Mercy Malaysia, Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, penilaian itu penting bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan bantuan kemanusiaan dibuat berdasarkan keadaan sebenar dan bukan sekadar andaian.
“Kita perlu memahami situasi sebagaimana ia berlaku, bukan berdasarkan andaian. Penilaian ini memastikan pemahaman kita berpaksikan realiti supaya sebarang pertimbangan pada masa hadapan dapat dilaksanakan secara tepat, fokus dan berkesan.
“Dalam kerja kemanusiaan, kejelasan maklumat membolehkan keputusan dibuat secara bertanggungjawab serta mengambil kira keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pasukan berkenaan akan melakukan penilaian secara langsung terhadap operasi perkhidmatan kesihatan di Iran termasuk akses pesakit, kapasiti fasiliti perubatan serta cabaran yang dihadapi petugas kesihatan.
Katanya, pasukan itu juga dijadual mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa kesihatan tempatan, petugas perubatan dan rakan strategik berkaitan bagi memastikan dapatan yang diperoleh benar-benar mencerminkan situasi di lapangan.
“Misi ini membolehkan analisis kemanusiaan dibuat berasaskan bukti, sekali gus menyokong perancangan yang bersesuaian mengikut keperluan dan konteks semasa,” ujarnya.