Petaling Jaya, 2 Oktober 2026 - Anugerah Bintang Pendidikan Malaysia (MESA) 2026, anjuran Kiddy123 yang berlangsung di Sheraton Petaling Jaya, telah menghimpunkan para pendidik yang berdedikasi, institusi pendidikan prasekolah yang inovatif serta rakan kongsi perniagaan yang komited dalam menjayakan misi bersama bagi memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak.
Kini memasuki tahun ketiga penganjurannya, MESA merupakan satu-satunya anugerah di Malaysia yang dikhususkan kepada sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, dengan memfokuskan kepada pusat jagaan kanak-kanak, tadika, para pendidik serta program-program yang secara langsung membentuk perkembangan dan pembelajaran generasi muda di Malaysia. Dilancarkan pada tahun 2024, MESA memberi tumpuan kepada tahun-tahun awal pendidikan yang menjadi asas kepada pembelajaran sepanjang hayat, menjadikan pengiktirafannya unik dan memberi impak yang bermakna.
Lebih daripada sekadar satu pengiktirafan, MESA telah menjadi penanda aras bagi kualiti, inovasi dan kepercayaan dalam ekosistem pendidikan di Malaysia. Bagi Kiddy123, sebagai platform terkemuka negara yang menghubungkan penyedia pendidikan berkualiti tinggi dengan ibu bapa yang mengutamakan pilihan terbaik untuk anak-anak mereka. Oleh itu, MESA bukan sekadar satu platform untuk meraikan pencapaian. Sebaliknya, ia menjadi pemangkin kepada perubahan positif yang memperkasa industri pendidikan, meningkatkan keyakinan ibu bapa dan membuka ruang kepada institusi pendidikan untuk terus berkembang.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Puan Lim Irene, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia; Cik Carolyn Choo, Ketua Jabatan Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-kanak), Fakulti Pendidikan, Bahasa, Psikologi dan Muzik, SEGi University & Colleges; Prof. Adjung Norsheila Abdullah A.M.N., Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM); serta Encik Elvis Gan, Naib Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM), dan Pegawai Ketua Eksekutif Bayu Mewah Cooperation Sdn Bhd (Tadika & TASKA Bayu Mewah), yang kehadirannya menyerlahkan kepentingan strategik sektor Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE).
Menekankan peranan penting para pendidik, acara tersebut turut menampilkan forum industri khas bertajuk “Melabur kepada Guru, Pacu Pertumbuhan Industri: Mengapa Kualiti dan Kesejahteraan Guru Penting untuk Masa Depan Pendidikan Awal Kanak-kanak”, dengan Cik Carolyn Choo, Encik Elvis Gan dan Prof. Adjung Norsheila Abdullah A.M.N sebagai ahli panel.
Dalam menyampaikan ucaptama, Puan Lim Irene menegaskan hubungan penting antara sokongan kepada para guru dengan pertumbuhan industri yang mampan, sambil menyatakan, “Guru merupakan tunjang utama pendidikan awal kanak-kanak, kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan kanak-kanak pada tahun-tahun paling kritikal dalam kehidupan mereka. Memberi tumpuan kepada pembangunan profesional, kesejahteraan dan pengiktirafan terhadap guru merupakan langkah paling berkesan untuk meningkatkan hasil pembelajaran kanak-kanak.
Apabila kita memperkasa para pendidik dengan sokongan yang sewajarnya, kita bukan sahaja memperkukuh perkembangan awal kanak-kanak, malah meningkatkan keyakinan ibu bapa serta menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan yang mampu meningkatkan mutu pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara.”

Edisi 2026 mengetengahkan penyertaan dari seluruh negara dengan meraikan seramai 42 pemenang dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah. Penyertaan tersebut mencerminkan perkembangan pengaruh MESA serta peranannya yang menyatukan komuniti pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara.
Proses penilaian dilaksanakan dengan mengekalkan standard profesionalisme yang tinggi, dengan setiap calon melalui proses saringan yang teliti dan berperingkat, termasuk lawatan lapangan jika diperlukan bagi mengesahkan kecemerlangan dalam operasi pendidikan awal kanak-kanak.
Anugerah tersebut merangkumi pelbagai kategori, dengan para pemenang utama diiktiraf atas kecemerlangan dalam bidang seperti Pendidikan Awal Kanak-kanak Terbaik, Kurikulum Prasekolah Inovatif Terbaik, Prasekolah Pendidikan Khas Terbaik, Program Muzik Pendidikan Awal Kanak-kanak Terbaik dan Pusat Pembelajaran Islam Terbaik.
Dengan kehadiran lebih daripada 200 peserta yang penuh semangat, majlis tersebut menonjolkan dedikasi dan kesungguhan yang menjadi pemacu kepada perkembangan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, selaras dengan objektif teras MESA untuk Mencerahkan (Illuminate), Berinovasi (Innovate) dan Menginspirasi (Inspire). Para penerima anugerah diraikan atas pencapaian mereka dalam menetapkan penanda aras yang membolehkan mereka menonjol dalam pasaran yang kompetitif, di samping membina kepercayaan yang kukuh dan berkekalan dalam kalangan keluarga.
Mengiktiraf prasekolah bertaraf tinggi, program pengayaan serta penyedia produk kanak-kanak, MESA berperanan sebagai penanda aras penting dalam industri. Melalui pengesahan standard kualiti, anugerah ini meningkatkan kewibawaan jenama serta mewujudkan kelebihan daya saing yang tersendiri, yang seterusnya menjana peningkatan jumlah pendaftaran.
Majlis pada sebelah petang tersebut diserikan dengan persembahan para pelajar yang menyerlahkan bakat serta kreativiti generasi muda. Para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan MaxJam Drum oleh Taska & Tadika Keluarga Harmoni dan Indah, (yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kein Hing Industry Sdn Bhd di bawah Program First Tempo MM) diikuti dengan persembahan balet moden ‘Flashlight’ dan balet klasik ‘Waltz Reverie’ oleh pemenang anugerah City Ballet Academy, Pasukan Ensemble Program Elit.
“MESA diwujudkan untuk melangkaui fungsi direktori tradisional dengan membentuk satu pengiktirafan berkualiti bagi pendidikan awal kanak-kanak,” kata Y.E. Cheong, Pengasas Bersama Kiddy123. “Hari ini, kita melihat perubahan ketara dalam pola pemikiran; ibu bapa kini tidak lagi sekadar mementingkan harga atau lokasi, sebaliknya lebih menumpukan perhatian kepada individu yang benar-benar membimbing anak-anak mereka.
Mereka mendambakan pendidik yang cemerlang, keprihatinan yang tulus, serta hubungan yang bermakna. Melalui 42 pemenang di seluruh Malaysia, kami berbangga dapat menawarkan satu penanda aras dipercayai yang mengiktiraf piawaian ini, sekali gus memberi inspirasi kepada para pemimpin untuk terus mempertingkatkan mutu industri sambil mempamerkan impak sebenar mereka terhadap institusi keluarga.”
Selain meraikan pencapaian, MESA turut menetapkan penanda aras kecemerlangan dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak, di samping menghimpunkan sekolah, NGO dan pemimpin industri dari seluruh Malaysia.
Pada sebelah petang, acara itu dihadiri oleh pihak Kementerian Pendidikan, pemimpin pendidikan, pengendali pusat, pendidik, serta rakan kongsi industri, yang mencerminkan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak bukan sahaja sebagai satu keperluan sosial malah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Dengan memberi penekanan terhadap kerjasama, kualiti dan pengiktirafan strategik, MESA memposisikan anugerahnya sebagai penanda aras yang dipercayai dalam industri pendidikan.
Dengan sokongan rakan strategik seperti WE.PLAY Playground, PlanToys Malaysia serta SEGi University & Colleges, MESA 2026 melabuhkan tirainya dengan jayanya, sekali gus menegaskan komitmennya dalam memperkukuh sinergi antara sektor korporat dan pendidikan, di samping membangunkan sektor pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia yang berdaya saing, bersedia menghadapi keperluan masa hadapan serta diyakini oleh ibu bapa.

