Microsoft memaklumkan gangguan perkhidmatan Microsoft 365 di beberapa rantau dunia berpunca daripada masalah pelayan yang tiba-tiba tidak berfungsi.
Dalam kemas kini terbaharu menerusi platform media sosial X pada Khamis, syarikat itu menafikan peningkatan jumlah pengguna menjadi punca gangguan berkenaan.
Sebaliknya, Microsoft menjelaskan beberapa pelayan mengalami masalah tanpa diduga sehingga menyebabkan beban lebih tinggi kepada infrastruktur yang masih beroperasi.
“Kami mendapati peningkatan beban ini bukan disebabkan pertambahan jumlah trafik, sebaliknya beberapa pelayan tiba-tiba tidak dapat beroperasi seperti sepatutnya,” menurut kenyataan syarikat itu.
Microsoft 365 Alami Gangguan Global

Microsoft turut memaklumkan pihaknya sedang berusaha mengaktifkan semula pelayan terjejas secara berperingkat bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan selamat.
Gangguan berkenaan menjejaskan akses pengguna kepada peti mel Exchange Online serta berkemungkinan mengganggu penggunaan perkhidmatan lain dalam Microsoft 365.
Beberapa pengguna turut melaporkan masalah untuk mengakses perkhidmatan berkenaan menerusi pelbagai kaedah sambungan yang biasanya digunakan.
Bagi menangani masalah itu, Microsoft menghentikan sementara semua pelaksanaan kemas kini, mengalihkan trafik daripada infrastruktur terjejas serta memulakan semula pelayan bermasalah.
Sebelum ini, syarikat berkenaan turut melaporkan peningkatan beban infrastruktur di beberapa rantau dan sedang menyusun semula trafik sambungan rangkaian global.
Langkah itu dilakukan bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem serta membantu memulihkan akses pengguna kepada perkhidmatan yang terjejas.
Sementara itu, laman web pemantau gangguan perkhidmatan, Downdetector merekodkan lebih 97,000 laporan berkaitan masalah Outlook di Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, lebih 38,000 aduan melibatkan Microsoft 365 dan kira-kira 4,500 laporan berkaitan aplikasi Teams turut direkodkan.
Bagaimanapun, jumlah sebenar pengguna terjejas mungkin berbeza kerana Downdetector bergantung pada laporan yang dihantar sendiri oleh pengguna.
Microsoft turut meminta pengguna mendapatkan perkembangan terkini menerusi laman status perkhidmatan serta pusat pentadbiran Microsoft 365.
Pengguna boleh merujuk dua laporan gangguan berkenaan menggunakan nombor rujukan EX1550543 dan MO1550821 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

