Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mimpi Anak Jadi Kenyataan, Pendulang Emas Ditemukan Lemas Di Sungai

BERNAMA
Pendulang Emas Ditemukan Lemas
Kredit: Bernama

Mimpi Anak Jadi Kenyataan, Pendulang Emas Ditemukan Lemas Di Sungai

GUA MUSANG, 10 Jun (Bernama) -- Mimpi seorang anak melihat bapanya lemas di sungai menjadi kenyataan apabila seorang pendulang emas ditemukan maut di Sungai Ulu Galas, Pulai di sini malam tadi.

Isteri mangsa, Nur Shafiqa Hani Mohd Zuki, 30, berkata suaminya, Mohd Tarmizi Darwis, 35, ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam sungai oleh rakannya pada 12.10 tengah malam.

Nur Shafiqa berkata sehari sebelum kejadian anak sulungnya, Nur Annisa Syuhada, 15, bercerita mengenai mimpi melihat bapanya lemas dan tidak disangka perkara itu benar-benar berlaku.

“Saya tidak menyangka mimpi suami lemas itu menjadi kenyataan. Suami saya bekerja mendulang emas sudah lebih 16 tahun dan selalunya kami akan masuk ke hutan bersama-sama, tetapi semalam seorang daripada anak kami demam menyebabkan saya tidak dapat ikut serta.

“Saya cuba melarang kerana ketika itu hari sudah lewat iaitu kira-kira 6 petang, tetapi dia tetap nak pergi,” katanya kepada pemberita di Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Ibu kepada lima anak berusia dua hingga 15 tahun itu, berkata dia menerima panggilan memaklumkan kejadian tersebut pada 12.10 tengah malam sebelum segera membuat laporan polis.

Nur Shafiqa berkata mayat suaminya kemudian dibawa keluar dari kawasan berkenaan dan tiba di hospital kira-kira 5 pagi kerana laluan ke lokasi mengambil masa hampir satu setengah jam selain hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda berikutan hujan lebat.

“Tidak ada apa-apa perubahan pada arwah suami sebelum meninggal dunia cuma kebelakangan ini dia kelihatan agak tertekan memikirkan tanggungan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Sik turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa.

Sik berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa pada 12.28 tengah malam semalam.

Beliau berkata lelaki tersebut telah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sungai oleh orang awam pada kira-kira 11 malam sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berada di lokasi tersebut bagi menjalankan aktiviti mendulang emas. Berdasarkan maklumat keluarga, mangsa mempunyai sejarah penyakit sawan dan sering mengalami serangan penyakit itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sik berkata hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kecederaan yang mencurigakan pada tubuh mangsa.

Beliau berkata mayat telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.