Mo Salah Buat Kejutan, Belanja Petrol Untuk Semua Yang Sedang Isi Minyak

Aqmal Ezany

Semenjak tiba di Liverpool pada 2017, Mohamed Salah telah menjadi pemain sensasi dan disegani di kelab tersebut.

Pada musim pertamanya di Liverpool, pemain kelahiran Mesir itu telah berjaya menjaringkan sebanyak 44 gol dalam 52 perlawanan untuk kelab tersebut.

Disebabkan itu, segala tohmahan berkenaan beliau hanyalah ‘pemain sensasi untuk semusim’ sahaja secara tidak langsung telah berjaya ditepis olehnya.

Di samping memenangi Premier League Golden Boot untuk kali kedua secara berturut-turut, beliau telah dikategorikan sebagai antara penyerang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris.

Bukan sahaja hebat di padang, Mohamed Salah juga turut terkenal dengan sifat mulia serta pemurah di luar padang.

Beliau amat disanjung tinggi di Mesir kerana dilaporkan banyak menyumbang kepada projek-projek amal seperti pembinaan sekolah dan hospital di kampungnya iaitu Nagrig, dimana sekitar 65% penduduk di sana hidup dalam kemiskinan.

Di Liverpool pula, kehadirannya dalam mewakili kelab tersebut telah berjaya menurunkan kes-kes yang berkaitan dengan Islamofobia di Liverpool, menurut portal sukan givemesport.com.

Dan pada awal minggu ini pula, Mohamed Salah telah berjaya membuktikan sifat mulianya sekali lagi.

Menurut beberapa ciapan yang dikongsikan pengguna Twitter, penyerang berbisa bagi kelab Liverpool itu telah dijumpai di stesen minyak Sainsbury menaiki keretanya sambil lengkap dengan kit latihan pasukan Liverpool.

Ketika di stesen minyak tersebut, beliau telah dipercayai membayar bil minyak semua orang yang sedang mengisi minyak.

Sementara itu, rakan sepasukannya iaitu Dejan Lovren turut memuat naik satu ciapan yang berunsurkan gurauan terhadapnya atas perkara yang telah dilakukannya kepada pengunjung stesen minyak yang bertuah pada ketika itu.

Sumber: Givemesport