Sektor pertanian negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah lama, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi bagi menjamin masa depan industri agromakanan yang lebih mampan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, teknologi perlu menjadi antara komponen penting dalam usaha memodenkan serta meningkatkan keupayaan sektor pertanian negara.
Menurutnya, Malaysia kini sedang bergerak ke arah pertanian pintar bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan memperkukuh kemampanan sektor agromakanan.
“Malaysia sendiri sedang bergerak ke arah pertanian pintar bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan memastikan sektor agromakanan kita lebih mampan.
“Antara ruang yang boleh kita terokai ialah precision farming, pemantauan automatik serta pengurusan rantaian bekalan yang lebih pintar dan cekap,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Mohamad berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Dahua Technology di Hangzhou, China, bagi melihat sendiri keupayaan teknologi Kecerdasan Buatan dan Internet Kebendaan (AIoT) serta pelbagai sistem inovasi yang dibangunkan syarikat itu.
Jelasnya, sekiranya teknologi berkenaan dapat disesuaikan dengan keperluan tempatan, ia berpotensi membawa perubahan besar kepada pengurusan ladang dan perusahaan agromakanan negara.
Pada masa sama, beliau berkata lawatan itu turut membuka ruang untuk Malaysia meneroka kerjasama yang lebih konkrit bersama Dahua Technology dalam usaha membawa teknologi moden ke sektor pertanian negara.
“Kita tak boleh sekadar jadi pengguna teknologi. Kita perlu belajar, bekerjasama dan membawa pulang teknologi yang sesuai untuk membantu petani serta memajukan sektor pertanian kita,” ujarnya.
Beliau berkata, setiap teknologi yang dibawa masuk perlu dinilai dan disesuaikan dengan keperluan negara supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh golongan petani serta penggiat industri agromakanan.
“Insya-Allah, yang baik kita pelajari, yang sesuai kita bawa pulang dan kita sesuaikan untuk Malaysia,” katanya lagi.

