Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mohamad Zainal Dilantik Pengarah Pengurusan PDRM

Pengarah pengurusan PDRM
Kredit: Facebook Jabatan Pengurusan PDRM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Pelantikan Mohamad Zainal, 48, disempurnakan menerusi Majlis Serah Terima Tugas dan Pemakaian Lencana Pangkat yang disaksikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mohamad Zainal, yang berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak sejak September tahun lepas, merupakan lepasan program pengurusan lanjutan Harvard Business School dan memiliki latar belakang akademik luas termasuk Ijazah Sarjana Undang-Undang daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Sarjana Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Ketua Penolong Pengarah D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) JSJ Bukit Aman serta Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan Perak Tengah.

Sementara itu, pada majlis sama, Abdul Aziz, 59, menerima dokumen serah terima tugas jawatan nombor dua PDRM itu daripada Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ibrahim Darus setelah pelantikannya berkuat kuasa pada 9 Sept lepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelantikan Abdul Aziz dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman luasnya dalam bidang kepolisan.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas bagi jawatan Setiausaha Polis Malaysia Bukit Aman kepada Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Selangor SAC Mohammad Mashdik Yahya dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) berkuat kuasa pada 12 Okt ini.

Pada majlis sama, turut berlangsung pemakaian pangkat kepada 25 pegawai kanan PDRM yang baru dinaikkan pangkat.

Majlis juga menyaksikan serah terima tugas Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia kepada Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim dan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan kepada Datin Dr Nitce Isa Medina Machmudi Isa yang disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia Puan Sri Munirah Che Rose.

Sumber:BERNAMA