PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan terhadap Mohd Shuhaily yang dalam tempoh peminjaman di AKPS diputuskan pada minggu lepas.
“Sebab beliau kader polis ke AKPS, jadi kita kembalikan kepada pasukan. Pihak polis akan menyusunnya kemudian.
“Kita sudah buat keputusan minggu lepas,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi KDN di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Dr Awang Alik Jeman, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Ditanya siapa yang akan dilantik untuk menerajui AKPS, Saifuddin Nasution hanya berkata: “polis”.
Semalam, Mohd Khalid berkata kedudukan Mohd Shuhaily sedang diteliti dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum keputusan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, selain turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis.
KDN pula memaklumkan urusan perkhidmatan Mohd Shuhaily masih dalam proses untuk dimuktamadkan bagi memastikan ia dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.
Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.
Pada 21 Okt, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept.

