Orang ramai daripada pelbagai latar belakang dijemput mengunjungi masjid-masjid terpilih di seluruh negara sepanjang September ini menerusi Mosque Open Day (MOD) 2026, sebuah inisiatif yang membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali keindahan seni bina, warisan, budaya dan nilai hospitaliti Islam dalam suasana yang mesra serta inklusif.
Program anjuran Islamic Tourism Centre (ITC) dengan kerjasama beberapa masjid seluruh Malaysia, merupakan sebahagian daripada pengisian Islamic Tourism Month (ITM) 2026, yang bertujuan memperkenalkan masjid sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pelancongan mesra Muslim.
Selain berperanan sebagai tempat ibadah, Mosque Open Day mengetengahkan masjid sebagai pusat komuniti yang menghubungkan masyarakat melalui budaya, warisan, seni bina dan nilai-nilai universal. Program ini mengalu-alukan kehadiran pengunjung daripada pelbagai agama, latar belakang dan kewarganegaraan, selaras dengan komitmen Malaysia dalam mempromosikan pelancongan mesra Muslim yang inklusif.
Para pengunjung berpeluang menyelami kepelbagaian peranan masjid dalam masyarakat Malaysia menerusi pelbagai aktiviti menarik. Antaranya termasuklah program berbasikal, pertandingan mewarna dan memasak, acara e-sukan untuk golongan belia, lawatan berpandu, sesi perkongsian ilmu, serta aktiviti kemasyarakatan. Acara ini turut diserikan dengan pengisian budaya yang menyerlahkan nilai-nilai kebersamaan seperti layanan mesra, keharmonian dan saling menghormati.
Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Encik Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, Mosque Open Day bukan sekadar program lawatan ke masjid, malah menjadi platform untuk menggalakkan persefahaman antara budaya serta memperkenalkan keunikan warisan Islam Malaysia kepada masyarakat tempatan dan pelawat antarabangsa.
“Melalui Mosque Open Day, kami mahu menggalakkan orang ramai melihat masjid bukan sekadar sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai ruang yang mencerminkan sejarah, seni bina, budaya dan kehidupan komuniti Malaysia. Program ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali Islam serta nilai-nilai universal seperti hormat-menghormati, keramahan dan keharmonian dalam suasana yang terbuka dan inklusif.”
Beliau berkata, inisiatif itu turut menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026-2027 dan agenda Malaysia MADANI melalui pembangunan pelancongan mesra Muslim yang memberi manfaat kepada komuniti setempat, selain membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengusaha pelancongan untuk memperluaskan keterlihatan produk dan perkhidmatan mereka.

Mosque Open Day merupakan antara program utama di bawah Islamic Tourism Month (ITM) 2026, yang berlangsung sepanjang September dengan menghimpunkan pelbagai produk, perkhidmatan dan pengalaman pelancongan mesra Muslim dari seluruh negara. Inisiatif ini turut menyokong usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim nombor satu dunia.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Mosque Open Day 2026, jadual program serta pelbagai tawaran sempena Islamic Tourism Month 2026 dengan melayari www.itm.itc.gov.my.

