Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Motosikal Bergesel Sesama Sendiri Ketika Berlumba, Dua Remaja Maut

Nurhanis
dua remaja maut dalam nahas lumba haram
Gambar: PDRM via Awani

Dua remaja lelaki dilaporkan maut dalam nahas di Kilometer 111.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala Selatan, Sungai Petani awal pagi tadi selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri ketika berlumba, lapor Awani.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, kejadian yang berlaku pada 1 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 16 dan 19 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sehingga disahkan maut di tempat kejadian.

“Hasil siasatan polis nahas membabitkan empat motosikal di mana semua mereka berlumba dari Sungai Petani menghala ke Butterworth dengan laju sebelum hilang kawalan dan bergesel sesama sendiri.

“Akibat pergeselan itu motosikal ditunggang mangsa terbabas di tengah lebuh raya dan dua daripada mereka meninggal dunia di lokasi,” kata Zaidy dalam satu kenyataan memetik Awani.

Kata Zaidy, Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) merupakan lokasi di mana mayat kedua-dua mangsa dihantar untuk dibedah siasat.

Manakala, dua lagi mangsa berusia 18 dan 19 tahun dilaporkan dalam keadaan parah dan mengalami cedera ringan serta turut di hantar ke HSAH untuk rawatan selanjutnya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Awani