Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Akmal Saleh Tak Mahu Guna Wang Sumbangan Selepas Motosikal & Ikan Berjaya Dijual, Mohon Infak RM173k Dari Orang Ramai

Akmal Saleh Tak Mahu Guna Sumbangan
Kredit: Akmal Saleh

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan motosikal Honda X-ADV miliknya berjaya dijual pada harga RM150,000 selepas menerima tawaran daripada tiga individu.

Menerusi satu video di Facebook, beliau turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan jualan ikan tilapia di kolamnya mencecah hampir RM30,000.

Ujarnya, hasil jualan asetnya itu ditambah dengan simpanan diri dan keluarga cukup untuk membayar ganti rugi kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

“Jumlah keseluruhan yang telah saya kumpul untuk jualan aset saya ini adalah RM180,000.

“Dan Alhamdulillah, RM180,000 ditambah dengan jumlah simpanan yang saya dan keluarga ada, cukup untuk mencukupkan dengan jumlah hampir RM300,000 menjelang minggu depan, Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang melakukan sumbangan walaupun diminta untuk tidak melakukan perkara itu.

“Sejak dari hari itu sehinggalah ke hari ini, masih lagi ada ramai individu yang berhati mulia yang menyumbang kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, ramai yang melakukan sumbangan dari jumlah kecil hinggalh jumlah yang besar dan setakat ini, sumbangan itu mencecah hingga RM173,761.

Bagaimanapun, Akmal memaklumkan bahawa beliau tidak akan menggunakan wang tersebut untuk membuat bayaran ganti rugi berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak. Tapi seperti yang saya maklumkan sebelum ini, saya tak nak menerima sumbangan sebab saya nak usaha sendiri, sebab saya ambil tanggungjawab.

“Saya buat posting yang awal tu bukan untuk menerima sumbangan. Saya buat posting tu untuk jual aset saya yang boleh jual untuk bayar saman,” ujarnya.

Beliau turut menafikan tuduhan individu-individu yang mendakwa dia melakukan posting itu untuk mengutip derma dari orang ramai.

“Saya nak maklumkan tidak ada satu niat pun untuk saya kumpul derma atau menyusahkan rakyat untuk membantu saya,” ujarnya.

Akmal Saleh Maklum Tak Mahu Guna Sumbangan

Susulan itu, Akmal meminta kebenaran dari orang ramai terutama yang memberikan sumbangan untuk menginfakkan wang tersebut.

“Maka, sumbangan dengan itu, jumlah yang 173,000 yang telah disumbangkan dengan saya ini, saya nak minta izin kepada semua yang menyumbang untuk saya ambil dan saya infakkan sepenuhnya.

“Setiap sen yang tuan-tuan berikan kepada saya ini, saya akan infakkan sepenuhnya dan berikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, wang tersebut akan digunakan untuk membantu individu yang memerlukan kos rawatan, selain membaiki rumah seorang individu yang memerlukan bantuan.

Akmal turut berjanji akan berkongsi perincian penggunaan wang sumbangan berkenaan menerusi Facebook supaya orang ramai dapat mengetahui bagaimana wang tersebut disalurkan.

“Saya akan berikan setiap perincian duit anda yang saya gunakan ini untuk bagi kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

Terdahulu, Akmal membuka bidaan bagi motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya bagi mengumpulkan wang untuk menjelaskan ganti rugi serta kos berjumlah RM300,000 seperti yang diperintahkan mahkamah dalam kes saman fitnah oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Sumber:Facebook